Sunday, July 14, 2013

Cairo & Alexandria, Egypt - Part I


السلام عليكم و رحمة الله و بركات



Cairo - Kaherah
Alexandria - Iskandariah
Egypt - Mesir






Jakun


Iya benar aku jakun. Saat orang lain takutkan gegaran kapal terbang sewaktu memecah tekanan graviti dan rintangan udara, aku rapat ke tingkap, mata menatap keindahan malam Lembah Klang dari udara. Meski matahari saat itu menyembunyikan diri, cahaya Putrajaya pada waktu malam sungguh mempersonakan. Entah bagaimana paramugara berhampiran dapat menangkap reaksi aku dari jauh, lalu dia lemparkan senyuman sambil mengenyitkan sebelah mata seakan berkata " Welcome aboard buddy ". Tersipu malu aku disitu. Apa reaksi orang pertama kali naik kapal terbang beginikah pada pandangannya ? Ah, biarlah. Tak dapat belajar luar negara, dapat berjalan di negara orang pun jadilah. Allah lebih mengetahui. Maka perjalanan pertama 10 jam itu terlalu pantas, buat insan yang pertama kali melintas benua. 10 jam itu jugalah hati berasa syukur kerna diberi kesempatan buat aku melawat Bumi Anbiya ini. Tak terlintas aku datang ke sini, sama ada buat aku menyambung pelajaran mahupun merantau di negeri orang ni, sehinggalah ibu dan bapa aku terpanggil buat menunaikan umrah. Dengan duit elaun yang kusimpan dari mula belajar di Notts, alhamdulillah berkesempatan jua aku mengikuti mereka. Niat utama, membantu mereka mana yang patut sewaktu di Mekah dan Madinah, lagi lagi perihal yang memerlukan kuderat orang muda seperti aku. Mengurus segala bagasi sahaja, sudah meletihkan bukan ? Oleh sebab itu aku memilih umrah ziarah Cairo & Alexandria, agar dapat aku merantau bertemu rakan disini sebelum 'tugas' utama aku berlangsung. 





Bising, itu tanggapan pertama bila bus aku mula menyusuri jalan sekitar metropolitan Cairo. Hairan, kereta baharu pun tampak lama dengan calar balar, debu kotor bagai. Biar jenama kereta mahal sekalipun, tidak terkecuali sama. Di sini tiada sistem lampu isyarat kereta,  'hon' pula digunakan 'sebaiknya'. Bawa perlahan kena hon, tukar laluan kena hon. Lagi parah tika mellalui Ring Road of Cairo. Kalau jalan dua lorong, rasa empat kereta boleh sumbat, selagi mampu. Lampu isyarat ? Ada dua sahaja seingat aku, pada jalan berhampiran Sungai Nil. Lampunya senantiasa berwarna kuning, dan ada inci polis trafik mengawal keadaan di tengah jalan. Tiada zebra cross, mahupun jejantas. Orang melintas sesuka hati tanpa menghiraukan kereta mendatang kiri atau kanan menjadi lumrah pelintas jalan. Melihatkan keadaan sebegini rupa, inikah ciri penghuni bumi para anbiya ? Berserabut, tiada adab. Bukan bumi ini selalu di sebut - sebut dalam kalamNya ?





Lalu aku membawa diri dengan bersarapan pagi atas kapal persiaran di tepian Sungai Nil pada hari pertama aku di Mesir. Cuaca tika itu, entah. Warna emas itu melimpah menerangi Cairo namun hangatnya masih belum terasa. Angin lembut dan lembap Sungai Nil pula mengusap pipi seakan terlentok aku akan kedamaian ini. Sungguh aku cinta perasaan ini. Suhu menggila musim panas yang digambarkan masih belum kutemui. Mungkin tuhan mahu aku mengambil ibrah akan punca kesejukan ini, Sungai Nil ?


" Ta'ib, lihat diluar tingkap bas kita, Sungai Nil, sungai yang disebut Al-Quran. 
Jika dilihat, tembikai yang dijual ditepi jalan sekitar Cairo semuanya besar  - besar bukan ? 
Kalau dimakan isinya, manis sangat. 
Kenapa ? Kerna, sumber air dan mineral tanaman di sini dari Sungai Nil. 
Manfaatnya boleh dilihat pada penduduk sini, manusia dan tidak hairan sayur - sayuran 
dan buah - buahan di sini segar bugar, warnanya menawan. 
Perkara ini sudah tentu tak terdapat di Malaysia
 sebabnya sungai di Malaysia tak disebut dalam Al-Quran pun. "


Atmosfera bas ini bergema bunyi hilai tawa. Masing - masing tercuit akan kebenaran kata - kata yang dituturkan oleh mutawwif dihadapan. Aku hanya menarik sebaris senyuman sementara mata mencari - cari kemanakah lokasi sarapan pagi kami. Ada benar bukan, perihal Sungai Nil disebut dalam Al-Quran ? Malah, Sungai Nil ini menjadi 'pengangkutan' buat Nabi Musa saat ibu baginda menghayutkannya atas arahan Allah ( Surah Al-Qashash ayat 7 ). Pernah sungai ini kering, lalu mendapat perhatian dari Amirul Mukminin. Saidina Umar pernah menulis surat kepada Sungai Nil ni,  tahu ?


Isi kandungan sepucuk surat itu berbunyi ;


“ Dari hamba Allah, Amirul Mukminin (iaitu Saidina Umar) kepada Nil Mesir. Segala puji buat Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi, tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu maka kami memohon kepada Allah agar mengalirkan kamu semula! ”

Rujukan : Telaga Biru



Dengan karamah beliau, Sungai Nil lebih galak mengalir dek sepucuk surat itu. Allahuakhbar, tak terbayang dalam kotak fikiranku ! Jika dilihat pada mata kasar pula, sungai ini kelihatan bersih, redup mata memandang akan warna biru sungai ini. Yeap, biru, jauh berbeza dengan air 'teh' di Malaysia.




Jika disebut Mesir, pasti terbayang bangunan megah piramid lagi kukuh. Yeap, destinasi kedua kami pada pagi tersebut adalah tapak piramid yang terkenal di Giza, sebuah kawasan yang terletak berhampiran Cairo. Piramid Mankaure mula menyapa dari pintu masuk kawasan piramid ini yang kemudiannya adalah piramid terbesar dan tertua, Piramid Khufu, disusuli Piramid Khafre. Manakala The Great Sphinx pula terletak pada jalan keluar kawasan piramid ini. Arkitek kepada segala binaan ini semuanya kembali kepada Imhotep, seorang nama yang tidak asing lagi dalam buku sejarah SPM. Sejujurnya, tiada perasaan kagum aku kepada binaan batu bata ini. Kerna apa yang kubayang dihadapan mata, adalah kisah Nabi Ibrahim berhadapan pemerintah Babylon ( bekas peninggalan Babylon ada di Cairo ), Nabi Musa 'bermain' ular besar dengan para sihir golongan Firaun. Aku teragak -  agak, mana satu tempat Asiah ( isteri Firaun ) membela Nabi Musa ? Piramid ini sudah sekian lama menjadi saksi kepada kejahilan kaum Firaun dan Bani Israel ( Ada berpendapat, Bani Israel asalnya dari tanah Mesir sebelum berhijrah ke tanah Palestin. Semoga Allah melaknat mereka. ) Piramid ini juga menjadi saksi kepada wujudnya para nabi, termasuklah Nabi Harun. Boleh jadi, piramid ini dapat 'melihat' dari jauh akan kebenaran Laut Merah terbelah ? Boleh jadi, piramid ini 'mendengar' kata - kata syahadah Firaun saat nyawa dihalkumnya waktu dia sudah nyawa-nyawa ikan. Pernah diri terasa ingin menjadi salah satu piramid ini, agar dapat melihat semua kebenaran itu. Namun aku terfikir sama, apa mampu iman aku berhadapan Firaun durjana ? 

Allahuakhbar.




Walaupun padang pasir, percaya atau tidak, penduduk asal pindah dari kawasan piramid kerana seringkali banjir sehingga 3-4 kali dalam masa setahun. HairanKuasa tuhan.


Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu : 

Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” 

Surah Ibrahim ayat 7.







Dan, petang itu juga Rafi bawa aku berjalan sekitar Cairo. Budak F1 sekali kawan kelab keusahwanan yang memasuki program ExxonMobil Young Entreprenuer (EYE)Ini bagusnya ikatan antara OASiS, old boys ASiS, sedia menyambut kedatangan aku di negeri orang ini. Teringat Cikgu Razmi pernah berpesan, " Pergilah merata dunia, pasti ada budak ASiS ". Yeap, I couldn't agree more. Sukar aku gambarkan perasaan petang itu. Senyuman di wajah aku tarik habis. Bukan senang mencari tempat udaranya segar, peluh tiada walau kaki penat berjalan. Siang hari pula tu ! Banyak perkara kami bincangkan sepanjang perjalanan. Bermula dari bertukar kisah hidup selepas SPM, perjalanan aku ke Mesir, kehidupan rakyat Malaysia di sini. Paling kurang, serba serbi perihal ekonomi dan politik Mesir aku serap waktu itu juga. Baru aku tahu, rakyat jelata Cairo sahaja sudah melebihi jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia. Biarpun Mesir punyai empat musim, eksport buah strawberi adalah nombor satu di dunia walau produksinya hanya pada musim sejuk. Kalau Greece sudah bankrup, Sepanyol dan Mesir pula hampir bankrup. Landskap ekonomi di Mesir sekarang di saat getir sejak Ikhwanul Muslimim menang tempoh hari. Pelbagai pembaharuan, dasar dibuat sehingga hutang negara pun tidak mampu dibayar negara ini walau secara berkala. Membazir ? Boleh jadi, tetapi aku percaya pada si al-hafiz merangkap Presiden Mesir itu, Dr.Morsi, yang dia bukan jenis makan duit haram. Boleh jadi sistem pengurusan kurang efisien. Boleh jadi tak efisien disebabkan konco Mubarrak ? Boleh jadi saki baki orang Mubarrak menghirup duit rakyat sebanyak mungkin selagi mereka berjawatan dalam kerajaan. Haru. Latar politik begini, di mana - mana pun ada. Malaysia pun tidak terkecuali.



Rafi's on duty.
Aku perasan dia berkasut.
Sedang aku pula ber-fipper. Erk ?




Aqueduct, tahu ?
Seronok bila benda disebut - sebut,
dihafal waktu SPM boleh lihat depan mata.
Dan Aqueduct ni sumpah tinggi !





Universiti Kaherah ( Cairo University ), 
tempat di mana Rafi menimba ilmu.




Lovely dawn at Cairo.
It was 15 minutes before 7.






Uni Rafi sebenarnya terletak di tengah pulau sungai dan kedudukannya di sebelah Istana Muhammad Ali. Jika dilihat dari seberang sungai, boleh nampak landskap menarik istana tersebut tapi sayang, ianya tutup buat sementara waktu. Katanya, sedang renovation. Bertanda 'A' dalam gambar di atas adalah Menara Kaherah ( Cairo Tower ), bangunan tertinggi di Cairo. Seterusnya kami berjalan di sekitar Garden City. Garden City merupakan kawasan peninggalan zaman penajajah yang kini menempatkan kedutaan dari beberapa negara. Masih terdapat bangunan bercirikan seni bina Perancis. Dari mula perjalanan aku di Mesir, Garden City merupakan tempat paling bersih, tersusun dan menghijau pokoknya. Dah macam berjalan sekitar Tiger Line, Ipoh. Penat melangkah, tiba - tiba diri seperti 'dikelilingi' brader brader polis. Rupa - rupanya kami berada di hadapan kedutaan Amerika, bersebelahan kedutaan British. Ujar Rafi, selalu sahaja berlaku protes rakyat Mesir terhadap kedutaan mereka bilamana ada pendirian yang menimbulkan sentimen Islam. Agaknya berbelas truk polis anti rusuhan disini beserta isi. Lihat tembok kedutaan mereka sahaja besar kemain. Heh, betul lah cakap mak, nampak gah tapi sebenarnya mereka hidup dalam ketakutan. 



Masjid Omar Makram.



Suka betul aku bila Rafi bawa solat di masjid kawasan sini. Pertama kali solat di masjid negeri orang lah katakan. Masjid ini terletak betul - betul sebelah Dataran Tahrir ( Tahrir Square ). Masjid ini berusia lebih setengah abad, dibangunkan oleh Ali Pasha bersempena mengingati perjuangan Omar Pasha pada revolusi abad ke-18 saat menentang Perancis. Mengikut kemudahan, kekemasan dan kebersihan, rasa Malaysia lagi tip-top. Tapi ada seperkara yang jarang dijumpai di Malaysia. Nak tahu apa ? Sini jemaah tumit-ke-tumit-bahu-ke-bahu walau saf belakang sekalipun ! Sungguh perkara ini jauh lebih bernilai dari kemewahan masjid yang kita selalu banggakan, Allahuakhbar. Tahrir Square senang je nak ingatada bulatan ( roundabout ) yang besarjalan pula lebar macam jalan Ring Road of Cairo. Nama sahaja dataran, pada pandangan mata aku ia lebih menyerupai taman permainan pantai, kecil tiada rumput. Berdekatan kawasan ini adalah hotel - hotel yang bertaraf 5 bintang seperti Hilton dan Sheraton. Malam itu, sempat aku melihat muzium Cairo dari luar. Menurut Rafi, bayaran masuk adalah 50LE, jika ingin melihat mumia 'asli', kena tambah 50LE, 100LE semua sekali. Malam sini 'hidup', sesuai benar buat jiwa anak muda. Kebetulan kami singgah di Vodafone beli sim kad, kedai di sini dibuka sehingga jam 12 malam. Rata - rata kawasan sini 'hidup' sehingga subuh, jam 3.30pagi. Oh, musim panas jadi siang panjang. Oleh sebab itu, subuhnya awal. 




Abou Shakra, nama kedai ni ada dalam foursquare. Eh.




Menu aku malam tersebut.
Jus tu, score aku 12/10. Sumpah terbaik !





Kedudukan rumah sewa Rafi dari GPS.
Garden City, Uni Cairo, itu semua dalam radius 2KM.
Dekat, rumah sebelah metro pulak tu.




Dan esoknya kami singgah di Kubu Salahuddin Al-Ayubi, menempatkan beberapa buah bangunan bersejarah seperti Masjid Ali Pasha, Masjid Naseer Muhammad, jam hadiah Raja Perancis, Istana Jauharah dan Muzium Tentera & Polis. Kawasan ini pernah dijadikan kawasan pentadbiran kerajaan selama 700 tahun pada zaman Ismail Pasha. Mengikut sejarah, kawasan ini sebenarnya dibangunkan oleh tentera salib. Setelah 300 tahun berperang, akhirnya tentera Islam menang dan dapat menawan kubu tersebut. Dan pemimpinan tentera ketika itu ialah Salahuddin Al-Ayubi, yang namanya mashur sehingga kini. 


Masjid Ali Pasha kelihatan gah walau dari jauh.





Metropolitan Cairo yang boleh dilihat dari atas sini. (1)





Nak tahu besar mana kubu Salahuddin ? Jangan bandingkan menara tinjau ni dengan Rafi ( kawan yang sempat jumpa di Cairo ) di kiri ni. Cuba bandingkan dengan lelaki berjalan di 'hujung' sebelah kanan. Antara dia dengan menara masih ada jarak lagi tu, tak mustahil skalanya lebih besar dari yang ditunjukkan dalam gambar ini. Besar kan ? Ini baru menara tinjau. Hebat betul hamba Allah punya angkatan waktu itu, allahuakhbar. Ada bahagian telah diubah suai pada pemerintahan Islam seperti mengambil sisa batu - batu piramid buat mengukuhkan lagi kubu tersebut. 



Bersama latar belakang adalah Masjid Ali Pasha. Besar sangat masjid ini sehinggakan terpaksa berjarak jauh bagi kelihatan penuh masjid tersebut dalam gambar. Biarpun besar dan luas, lantainya setingkat sahaja. Terdapat lampu - lampu antik yang masih berfungsi dalam masjid tersebut. Mengambil ciri barat, ada cermin di sini bermacam warna seolah diambil dari zaman Renaissance.  Kalau perasan, reka bentuk luarnya hampir sama dengan Blue Mosque di Turki. 



Koridor Masjid Ali Pasha. 
Kalau perasan, bahan binaan tiang ini adalah batu putih.
Hairan ianya kukuh walau hampir 700 tahun usianya.




Pasha - pasha yang terkenal dalam era kegemilangan Mesir.
Paling banyak disebut sebut adalah Ibrahim Pasha.
'Pasha' merujuk gelaran ketua kepemimpinan.



Berkesempatan aku dan Rafi menjejakkan kaki di Muzium Tentera. Berhadapan kawasan muzium adalah dataran yang menempatkan beberapa senjata atau jentera perang yang pernah digunakan oleh pihak tentera Mesir dari zaman dahulu sehingga sekarang. Amphibia truck, tanks, aircrafts, missile vehicles, howitzers, you name it, semua ada. Dalam muzium pula, bekas chariot yang pernah digunakan Firaun Tutankhamun pun ada ! Ada replika kecil seige tower yang pernah digunakan pada zaman kegemilangan Islam dahulu kala. Apa yang awesome ? Seige tower tersebut binaannya kayu, berodakan kayu balak bulat, tingginya 9 tingkat ! Jelas dan terperinci peninggalan sejarah di Mesir ini sehinggalah zaman Mubarrak. Rupanya, sebelum Dr.Morsi, sistem politik bertunjangkan sistem ketenteraan. Sekiranya seseorang dapat jawatan ketua tentera Mesir, maka dia juga mendapat menyandang jawatan presiden sama. Cuma kehadiran Dr.Morsi al-Hafiz adalah dunia politik baharu kepada rakyat Mesir dimana beliau merupakan presiden pertama yang dilantik melalui demokrasi pada tahun 2011. Faktanya, Mesir berbelanja besar terhadap ketenteraan sejak berzaman lagi. Tidak hairanlah bermacam jenis peperangan Mesir pernah lalui. Jauh berbeza dengan sejarah Tanah Melayu. Oh, kalau bawa kamera dikenakan cas 1LE. Kalau berlenggang, percuma sahaja. 




Metropolitan Cairo yang boleh dilihat dari atas sini. (2)
Kelihatan Masjid Sultan Hassan dan Masjid Rifa'i berkedudukan bersebelahan.



Kubu ini menariknya, tanah kedua tinggi di Cairo. Jadi, panorama Cairo boleh dilihat dari atas sini. Cantik, hampir seluas mata memandang. Tiga piramid yang terletak di Giza pun dilihat jelas dari atas sini. Kesimpulan mudah aku, tanah sini rata sahaja. Kalau berbukit pun, jenis bertarah buat pembangunan atas desakan populasi yang menggila. Banyak lagi yang ingin aku terokai tapi sayang aku kesuntukan masa. Petang itu aku perlu ke Al-Azhar pula buat berjumpa rakan yang lain. Sungguh aku terhutang budi besar buat Rafi, kerana sanggup menghabiskan masa menerokai sebahagian bumi Anbiya bersamaku. Bukan mudah berjalan di tempat bahasanya asing untuk diolah, disebut. Apatah lagi, bila diri langsung tiada persediaan buat memahami serba serbi Cairo.


Thanks mate !





D-SIM dengan latar Cairo.





Dan perjalanan mini back-packing kubersambung. . . . 




12 comments:

  1. lawanya koridor masjid ali basha n yg len jugak.. rasa mcm nk gi melawat jugak je..

    ReplyDelete
  2. best nyaaaa! dah macam pemandu pelancong dah

    ReplyDelete
  3. Nice entry , jauh perjalanan luas permandangan . :)

    ReplyDelete
  4. best wooo

    Alhamdulillah

    yg penting aku ingt kata-kata
    Cikgu Razmi kau. haha

    ReplyDelete
  5. Replies
    1. diharap bersabar.
      Mohon kasi habis dulu SPM B)

      Delete
  6. Nice..fantasyiru fil ardh....n bkn smta prjlnn musafir yg kosong.namun penuh dngn ibrah yg terselit...

    ReplyDelete