Saturday, October 19, 2013

Sambut Aidiladha di kampung rakan.



السلام عليكم و رحمة الله و بركات





Pernah buat sesuatu tanpa dirancang teliti ? Atau bahasa orang biasa orang muda 'last minute decision' ? Yeah, aku punya last minute decision terbaru adalah beraya Aidiladha di kampung rakan. Sebenarnya teringin juga pulang beraya bersama keluarga tercinta di Ipoh sana. Tapi Notts kasi cuti sehari sahaja, kena pula musim raya jalan KUL - IPH biasanya jam. Teringat tahun lepas pulang beraya bersama Budin, 7 jam memandu baru sampai Ipoh ! Lutut terketar ketarrrrrr bawa kereta manual.

Jadi petang Isnin lepas, habis sahaja kelas dalam pukul 2 petang, kami bersiap - siap, bawa barang apa yang patut bagi menyambut raya di Tanjung Karang. Yeap, kami - Harith, Rashid dan aku - akan beraya di kampung Rashid yang terletak di Kampung Sungai Gulang Gulang, Tanjung Karang. Dalam kepala, fikir bermalam, solat raya, selesai makan, chow balik Notts kembali semula menghadapi hari hari hectic sebagai seorang pelajar uni (eh). Ringkas sahaja tentatif aku, sekadar ambil angin di tempat orang. Siapa sangka, perancangan tuhan lagi menarik ?




Siapa minat geo, cepat je tangkap jalan mana.



Perkara pertama sekali yang paling menarik dalam perjalanan kali ini adalah, aku berjaya cari jalan ke Stadium Shah Alam tanpa perlu ambil lebuhraya ! Kisah benarnya, terlepas jalan. Sepatutnya ambil jalan paling kiri untuk ke Lebuhraya PLUS, turun ke Lebuhraya Guthrie untuk ke Ijok seterusnya ke Kuala Selangor - Tanjung Karang. Bila terlepas, kepala jadi rungsing cari mana jalan pusing. Bila terlajak sikit . . sikit . . sikit . . last - last sampai depan Stadium Shah Alam haha Bukan apa, selalunya pergi ke Shah Alam mesti kena cari lebuhraya yang akan end-up nampak Stadium Shah Alam atau MSU dari tepi lebuhraya. Risau sesat, satu hal lagi. Pernah sekali, sesat hampir sejam dalam Shah Alam, cari jalan keluar ke Kuala Lumpur. Sekali sahaja tak sesat, masa melawat rakan di Bukit Jelutong. Ah, aku tidak hirau apa kalau sesat. Bak kata watak hero kartun Ben 10, 


"Man don't lost, they go travel" 

B)


Setelah hampir 2 jam memandu tanpa henti, kami singgah sebentar bungkus karipap gergasi buat buah tangan orang kampung Rashid. 

Pernah dengar karipap gergasi ?



Nah !


Besar bukan ? Sebesar tapak tangan ! Setakat ini belum pernah aku jumpa gerai yang menjual karipap gergasi melainkan gerai di sekitar Ijok, Kuala Selangor dan Tanjung Karang. Harga cuma RM 3.50 setiap satu dan isinya sama ada daging atau ayam. Kata Rashid, sedap dimakan panas. Aku takat bau sahajalah sambil perut berbunyi tahan lapar. Harith dan aku berpuasa sempena Hari Arafah. Sabar je bau karipap panas memenuhi udara kereta petang itu. Sejak tu, mata selalu perhati jam bila lah azan Maghrib nak masuk tsk tsk Part lawaknya, karipap panas tu Rashid letak betul betul dihadapan batang hidung Harith. Nasib tuan badan lena, kalau tak dah kena ngap aku rasa -.-


Awan berarak laju bagai baru kena palu. Lagu lagu raya yang berkumandang dari corong radio menghangatkan lagi suasana. Petang biasa - biasa, Lebuhraya Pantai Barat tidak sesak mana. Orang dari Kuala Lumpur masih belum keluar kerja mungkin ? Harith yang dari tadi mulutnya becok bercerita, tewas tertidur lena sejak keluar Lebuhraya Guthrie. Rashid dibelakang, memberi info perihal kawasan sekitar. Lama memandu, badan mula terasa letih, mata semakin kuyu, tekak mula menagih air. Melihatkan jam, sabar, masih ada sejam dua sebelum azan berkumandang. 9 Zulhijjah ini besar hikmahnya ; 



Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman : 


‘Apa yang mereka inginkan ? ‘ 

(Sahih Muslim 3275)




Besar papan tanda "Kampung Sungai Gulang - Gulang" di bahu jalan tanda perjalanan kami sudah hampir tiba ke destinasi. Dalam hati dah jadi gulai, bercampur baur rasa gembira, segan, malu bila datang bertandang bermalam di rumah orang. Apatah lagi menyambut hari raya yang sepatutnya dilebihkan privasi kepada ahli keluarga sendiri. Apa boleh buat, anak perantauan menagih simpati mahu beraya sekali D: Tiba sahaja di rumahnya, ada atuk Rashid sedia menanti dihadapan rumah. Sihat orangnya, ceria menyambut cucu serta rakan-rakannya ini. Teringat pula aku pada arwah atuk. Tiba - tiba muncul nenek Rashid dari balik pintu kemudiannya bertutur dalam satu bahasa yang asing kami Harith dan aku. Oh, baru aku teringat, Rashid ni datangnya dari keturunan Jawa ! " Nenek, diorang tak fahamlah ! "  Ujar Rashid dalam nada tinggi. Eh ? Seraya itu, " Oh minta maaf, nenek tak tahu ". Kami berdua hanya mampu tersenyum sebelum dipelawa duduk.

Lama aku memikirkan sesuatu perkara sebelum Rashid membuka bicara; 


" Kalau orang tak tahu, mesti diorang fikir aku kurang ajar 
dengan atuk nenek cakap terjerit - jerit 
walhal mereka ada masalah kurang pendengaran. 
Kenalah cakap kuat sikit."


BANG ! 

Macam kena tembak, 
tepat di hati.  

Inilah masalah sesama manusia, cepat sahaja bersangka buruk. Ada sahaja ruang buruk ingin memenuhi benak fikiran, lalu menyandarkan tanggapan negatif tanpa meringankan mulut untuk bertanya terlebih dahulu. Dan, petang itu, aku pun tersilap sama. Asif. Kemudian kami didatangi oleh tiga budak kecil. Naufal, Naim dan Mia, semuanya sepupu kepada Rashid. Anak kecil, manja dan ceria. Seronok benar dengan kehadiran kami di sisi mereka seakan kami ini abang mereka yang baru pulang dari tempat belajar. Cewah

Dan petang itu, Naufal dan Naim tunjukkan jalan ke sini; 















Mereka menunjukkan tempat ke sawah bendang ! Okay, sejarah baharu tercipta. Pertama kali aku dapat sentuh padi masak ! Waktu itu, musim menuai. Rata - rata pemandangan adalah kuning kemasan, ada sesetengah kawasan sudah menjadi lapang setelah dituai oleh jentera menuai padi. Dapat lihat burung berterbangan rendah mencari sedikit rezeki dari butiran padi yang jatuh dari jentera menuai padi atau pada pokok padi yang tidak sempurna tuaiannya. Susanan rumah di kawasan bendang sawah paling aku berkenan. Biar luas terbentang padi depan mata, pasti ada sebuah dua rumah ditengah - tengahnya. Ilmu baharu bila Harith menunjukkan kawasan masa yang sesuai untuk menangkap ikan haruan di bendang padi. Tambahnya lagi, bahaya kalau di bendang sawah adalah kehadiran makhluk merbahaya seperti ular. Nyamuk pun besar - besar -.-







Pulang sahaja, kedengaran azan berkumandang. Kebetulan nenek Rashid pun puasa, ( 60-70an pun larat puasa lagi, hebat ! ), kami pun join sekaki ikut nenek berbuka sama hewhew Hah, macam - macam makanan terbentang dihadapan mata kali ini, rata - ratanya makanan Jawa. Kalau negeri lain ( yang aku perasan ) suka lemang, orang Jawa lebih kepada anyaman ketupat. Ingat lagi kata - kata mak  " Kalau di Johor, anak dara yang tak pandai anyam ketupat tak boleh kahwin lagi " haha. Oh, sebab rata - rata orang di Johor berketurunan orang Jawa. Jadi malam itu, dapat merasa ketupat air tangan orang kampung. Cuma satu makanan aku tak sentuh, ulam - ulaman. Err . . err tak pandai makan. Dan biasanya dimakan bersama kuah kacang. 


Usai sahaja solat jama', kami menuju ke kawasan sini pula;



Bukan seratus ni, RM 50. Dua kupon, satu dibuat simpan, satu pemaju simpan.


Kawasan Kelip - Kelip Kampung Kuantan di Ijok. Kelip - kelip atau kunang - kunang mudah didapati di tebing sungai sini. Terletak hampir 12 KM dari Kuala Selangor, kawasan ini dibuka dari 7.30 petang sehingga 10.30 malam ( last call ). Di sini, perlu menyewa satu sampan bukannya dikira satu kepala. Satu sampan, satu trip pusing kawasan kunang - kunang RM 50. Dan satu sampan hanya muat 4 orang sahaja. Kalau ada anak kecil, boleh sumbat seorang ibu atau bapa bersama 5 orang anak kecil. Anak kecil, bukannya bapak budak yea. Seeloknya pergi waktu anak bulan, biar malam gelap gelita itu hanya diterangi cahaya dari kunang - kunang. Jika mahukan kelainan, lebih baik memilih untuk melawat kawasan kelip - kelip di Bukit Belimbing. Di sana, pihak pengurusan akan bawa jauh ke tempat gelap dan bagi menikmati keindahan alam, enjin digunakan pula bertenagakan kuasa bateri. Mesra alam bukan ? Rating aku beri di kawasan Kampung Kuantan adalah 5/10 sebab expectation aku jauh lebih tinggi dari apa yang mata aku lihat. Seronoknya, bila lihat kunang - kunang bermain dihadapan mata dan berskala besar. Teringat dahulu sewaktu menetap di Pahang bilamana kehadiran kunang - kunang dihadapan mata adalah suatu yang mengujakan, lagi - lagi waktu itu aku masih anak kecil. Hmm, bila sesuatu perkara berjaya mengungkit memori lama, pasti terasa bagai baru semalam sesuatu peristiwa itu berlaku. Sedar tak sedar, besar sudah aku.



Selesai di Kampung Kuantan, kami berjalan sekitar Bandar Tanjung Karang. Antara keunikan di Tanjung Karang, adalah Restauran Satay Hut.




Besar, sumpah besar
Mulanya aku anggap biasa - biasa, tapi bila dapat merasa sedikit, reaksi aku terus. . . . . . 






Sedap sangat ! Kalah Sate Kajang Hj Samuri. Serious talk. Berbaloi pada harganya RM 1.50 setiap satu, ambil 4 batang sahaja sudah kenyang. Kalau mahu pilih saiz biasa, harganya jatuh kepada RM 0.70 secucuk. 


Rashid tanya kepada pelayan, menu apa lagi yang terkenal di sini, balasnya ;






Mee Bandung. Okay, pertama kali aku jatuh cinta dengan mee bandung. Selama ini, tak berkenan langsung. Semangkuk RM 7, berkuah pekat dan mee tak kembang sangat.  Semangkuk mee bandung ini kami kongsi bersama memandangkan berbuka tadi melantak habis hehe. Kongsi pun sesuai juga, udang besar pun banyak diberi, dapatlah merasa seorang sedikit. Pasal makanan, memang minat aku dan malam itu terasa bagai di syurga dunia !



Keistimewaan kampung Rashid, rumah atuknya terletak di hadapan masjid. Dan masjid di sini pula azan subuhnya dua kali sama seperti azan di tanah haram Madinah dan Mekah. Berat juga mata nak berjaga pagi itu bila malamnya tidur lewat 1.30pagi. Tambah pula keletihan dan perut kenyang. Nasib tok imam baca surah panjang, sempat  ikut -.- Dan pagi raya itu kami sambut secara sederhana sahaja. Sebelum solat raya lagi ibu aku buat panggilan, ucap Selamat Hari Raya Aidiladha 1434H. Rashid dan Harith pakai baju Melayu dan kebetulan masa awal sem aku ada bawa jubah biasa, beli di Madinah haritu. Adalah gaya orang beraya sedikit. Pagi itu dapat bersalam mohon maaf pada atuk Rashid. Hampir mengalir mata atuk aku lihat.



Berhadapan masjid, bersama Naim.



Usai bergambar, Rashid bawa kami beraya di rumah atuk sedara yang cuma terletak bersebelahan rumah atuk Rashid.




Daun bayam goreng tepung. Pernah rasa ? 




Dari kanan, Naufal, Naim dan Mia. Semua nakal -.-'


Puas 'babai' kepada budak - budak sebelum pulang. " Lain kali abang datang lagi tak ? " " Bila lagi dapat pergi masjid dengan abang ? " " Nanti raya datang lagi yea ? " Alahai, boleh cair aku kalau duduk lama - lama di sini. Dalam pukul 11 pagi, kami beransur pulang ke Bumi Semenyih. Cuaca hari tersebut tenang, matahari tidak terlalu panas, udara nyaman sesuai benar kalau berjalan jauh. Sempat kami singgah ke satu dua tempat sebelum keluar dari daerah Kuala Selangor.




Cendol pulut di Kedai Cendol Durian Borhan.


Rasanya, erm, lebih kurang Cendol Bakar. Tapi Rashid cakap Cendol Borhan lagi sedap. Aku ada dua orang rakan di Ijok, Kidey dan Hajar. Oleh sebab Kidey beraya di UTP, rumah Hajar kitaorang serbu haha




Lemang panas dan kari kambing. Empuk dagingnya, sedap !




Pertama kali rasa buah longan (y)



Alhamdulillah perjalanan petang itu lancar, dalam pukul 5 kami sudah tiba di Semenyih. Pelbagai ilmu dapat aku kutip dalam perjalanan kali ini, terutamanya perihal orang Jawa dan serba serbi bahasanya. Bahasa Melayu, Indon dan Jawa itu serumpun, tapi masing masing ada perbezaan yang menjadikan setiap bahasa itu unik, termasuklah bangsa yang menjayakan bahasa tersebut. Paling kurang, tahulah mana tempat menarik yang boleh aku bawa ibu dan bapa aku musim cuti nanti. Bila muhasabah diri sepanjang perjalanan, aku tersedar suatu perkara. Kita akan tahu bersyukur bila sesuatu perkara baik terjadi kepada kita secara tidak sengaja atau tanpa diduga. Sebaliknya, kita akan bersikap tamak, mudah berputus asa bila perkara yang diharapkan tidak menjadi. Sudahlah kecewa, Allah pula yang dimarahkannya. Contoh perjalanan aku kali ini, mind-set aku pergi ke kampung Rashid sekadar bermalam, bangun pagi solat raya dan balik. Siapa sangka, 1001 rezeki dan pengalaman indah Allah berikan dalam perjalanan pendek kali ini ?



Dan harga bermusafir bersama teman baik yang juga orang beriman ? 



Priceless.






P/s : Malam itu Kak Ya bawakan cupcake mak buat, all the way from Ipoh. Thanks mom !





2 comments:

  1. Haha, part anak dara kalau tak reti anyam ketupat tak boleh kahwin lagi tu memang betul. Nenek dengan makcik2 aku selalu cakap gitu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha ni dah reti ke belum ? Kalau tak reti lagi, tak leh kawin laa kau haha

      Delete