السلام عليكم و رحمة الله و بركات
6 pagi,
mata celik sendiri,
lidah mula memuji Illahi.
Kedengaran alunan surah - surah pilihan
dari surau berdekatan.
Tanda waktu Subuh makin hampir,
tiba sudah bulan berganti matahari,
masa manusia keluar mencari rezeki.
Bila azan berkumandang,
terasa jantung berdegup kencang seketika.
Andai kata malam tadi malam terakhir,
boleh jadi azan ini kudengar dari dunia berbeza.
Syukur buat tuhan yang memberikan peluang,
buat diri mencari jalan pulang.
Cuma yang pasti,
ada satu dua alunan azan,
yang berjaya mencuit hati,
terkadang senyum seorang diri,
tampak gusi.
Jujur aku tidak mengerti,
akan apa yang cuba disampaikan
oleh muazin ini.
Tapi. .
Aku kagum akannya.
Lihat dari rupa,
pangkat datuk ada ramai cucu.
Dialah orang pertama yang buka surau awal pagi,
orang yang membersihkan surau seorang diri,
hatta betulkan masa waktu solat pada jam pun dialah empunya diri,
walau kakinya tempang sebelah,
terpaksa solat sambil duduk atas kerusi.
Mukanya jernih,
senyumnya manis.
Lantas teringat pada seorang pakcik lain pula,
di Ipoh sana.
Dahulu tiada masjid berdekatan kawasan perumahan.
Terpaksa berkereta ke masjid.
Itupun diri selalu merungut panas,
bila menapak keluar kenderaan di perkarangan masjid.
Namun aku terdiam,
bila tiba seorang pakcik berbasikal kecil,
gaya P Ramlee dalam cerita Ali Baba dan 40 Penyamun,
menuju masjid,
di tengah hari buta.
Peramah pula tu.
Tua atau muda,
semuanya dia salam usai sahaja solat.
Senyum dia,
tiada lekang dari muka.
5 waktu solat sehari semalam,
tak boleh bayang berapa banyak pahala,
terhasil dari setiap peluh menitik,
dia ke masjid.
Dua pakcik berbeza,
di tempat berbeza,
punyai semangat yang sama,
dalam menegakkan tiang agama.
Hebat orang sekeliling aku,
cumanya,
aku bila lagi ?
P/s :
" Sesiapa tidak tahu berterima kasih kepada manusia, tandanya dia tidak tahu berterima kasih kepada Allah "
- Hadis Bukhari.
Syukur buat tuhan yang menciptakan hari hari yang indah.
moga terus istiqamah!
ReplyDelete