Thursday, August 14, 2014

Roadtrip : Negeri Pantai Timur - Bhg. I



السلام عليكم و رحمة الله و بركات



Kalau ikut zaman hidup berjimba aku, kitaran tahunan aku bermula dengan tahun yang baru bila tiba musim panas. Kenapa ? Musim panaslah masa jiwa paling tenang, kalau tahun ijazah tersebut dah habis, kena pula cuti hampir 4 bulan lamanya hehe Alhamdulillah, rasanya tahun lepas adalah tahun yang terbanyak sekali aku berjalan. Merata tempat aku pergi, sempat aku rakam dalam instagram (link). Ikut kuderat, mana mampu nak update semua perjalanan/trip/cuti-cuti/berjimba Encik D-SIM. Setakat ini apa yang aku perasan, Cameron Highland dah menjadi tempat wajib dilawati pada setiap tahun. Terkadang pergi tanpa apa-apa rancangan pun. Yelah, jarak masa sejam cuma dari rumah Ipoh sana. Apa - apa pun, syukur kepada Allah beri aku kesempatan begini lagi - lagi kena pada jiwa mudaku yang suka mengembara melihat dunia.

Oleh sebab ada kesempatan masa, insyaAllah entry kali ini berkenaan salah satu roadtrip yang aku ikuti, Roadtrip : Negeri Pantai Timur selama seminggu ( 22-28/06/13 ). Asal trip ini bertujuan nak berjimba di Pulau Perhentian, Terengganu bersama ahli usrah Al-Khafi, tetapi Adib, Zakhair dan aku panjangkan trip ini jadi roadtrip yang melibatkan negeri pantai timur. Akan aku libatkan hal kewangan dalam entry kali ini buat membantu carian google. 



Sampai sampai Malaysia, 
instagram dan twitter dengan hashtag 'hehei'





Hari #1 : 22 Jun' 13


Perjalanan aku bermula dari Ipoh, waktu malam. Katanya berjumpa dengan Adib dan Zakhair di Dataran Gerik sebelum bermalam sebentar di rumah ayah aku sekitar itu. Dapatlah juga mereka merasa sejuk mana di Gerik ni waktu malam, hehe Sarapan pagi aku bawa ke tempat fav aku. Gerai ini terletak di tepi Jalan Kuala Kangsar - Gerik. Tidak jauh daripada Dataran Lawin, dalam 10 minit perjalanan. Suka aku makan di sini disebabkan roti canai air tangan Melayu dan murah. Murah ? Roti canai sekeping 50 sen je ! Teh tarik kaw cuma RM1 ! Mana nak dapat tempat lain ? Sedap, berbaloi, kawan pun suka :)



Perkenalkan, Adib dan Zakhair.





Gambar dua tahun lalu, gerai sekarang ini sudah 
besar 50% daripada ini.
Keep it classic, and cheap :p



Seterusnya, singgah di Pulau Banding, Gerik. Pulau ini terletak di tengah - tengah Tasik Temenggor, tasik buatan manusia. Dikisahkan, terdapat sebuah perkampungan lengkap dengan sekolah dan masjid ditenggelamkan dalam menjayakan empangan Tasik Temenggor. Terdapat Banding Lake Side Inn buat sesiapa yang berminat untuk menginap di sini dan dibina dua buah jambatan buat melintasi pulau ini bagi memendekkan jarak Jalan Raya Timur-Barat.



Adib berdiri atas tempat helikopter mendarat,
belatarbelakangkan pemandangan tasik
Biasanya kalau terjadi kes berat, kemalangan dalam hutan, 
helikopter hospital akan mendarat di sini.






Cantik - cantik tempat ini, banyak kisah seram sebenarnya.



Rasanya dalam seumur hidup, ini baru pertama kali melalui Jalan Raya Timur-Barat. Jalan ini telah siap pada 1982, bagi memendekkan perjalanan orang dari Negeri Utara ke Negeri Pantai Timur seperti Kelatan, mahupun Terengganu. Ikut sejarah, semasa dalam pembinaan, pekerja - pekerja yang melaksanakan rancangan jalan ini telah beberapa kali diserang hendap oleh komunis sehingga ada yang terkorban. Kita kena bersyukur kepada mereka, kerana usaha mereka, dapat juga kita lalui jalan tersebut dengan selesa. Terfikir juga, kalau satu kenderaan lalu, satu pahala, agaknya sejak dah siap jalan ini, berapa banyak pahala terkumpul ?





Tak jauh, cuma berbukit bukau.



Memang jalanya berliku - liku, turun naik bagai roller coaster. Kalau orang jenis mabuk kereta macam abang aku memang tak tahan. Ada kawasan terdapat tanda "AWAS Gajah melintas" :O Kalau berkenaan liputan talian, rasanya bukan semua tempat ada. Kalau ada pun, satu dua bar Celcom. Usah berharap laa kalau nak liputan 3G. Dan Maxis ? Hampeh, dari awal sampai ke Jeli, Kelantan tiada liputan langsung. Menariknya jalan ini bilamana ia merentasi Banjaran Titiwangsa. Ada kawasan boleh berhenti iaitu R&R Banjaran Titiwangsa, buat menikmati pemandangan sekitar banjaran, dan serius lawa ! Tempat disini sedikit berkabus, udaranya segar pula. Ada kawasan boleh perihati. Oleh sebab tiada stesen minyak sepanjang jalan ini, dinasihatkan isi minyak siap siap terlebih dahulu yea. Dan senantiasa berhati - hati dek terkadang jalan yang curam, kes rompakan juga.



Warna hijau sepanjang jalan yang menenangkan.



Alhamdulillah tiba di Jeli dengan selamat, dan hati rasa seronok bila mula terlihat papan tanda Islamik, seperti Allahuakhbar dan Alhamdulillah. Papan iklan bertulis jawi pun ada. Mula terasa rahmat di negeri berkat ini. Oh, tak sempat singgah pun di kawasan ini, sekadar lalu sahaja. UiTM Jeli pun tepi jalan sahaja. 




Dah lihat peta,  baru perasan jauhnya perjalanan kami ke sana.



Terdapat beberapa pos kawalan perlu dilalui sebelum sampai ke sini. Pos tersebut adalah pos buat mencegah penyeludupan, kerana Rantau Panjang ini betul-betul terletak bersebelahan daerah Sungai Kolok, Siam. Sama seperti Pulau Langkawi, Rantau Panjang adalah kawasan bebas cukai, kawasan barangan asing boleh dijual beli disini tanpa dikenakan cukai. Kecil sahaja kawasan disini, tetapi rancak dengan perniagaan. Cumanya, disini tidak semeriah Padang Besar. Uniknya, ada pasar tani dan boleh lihat lah orang muka kacuk Kelantan-Siam. Lawa hehehe Tak beli apa apa pun di sini, sekadar cuci mata. 



Murah. .  kot ?


Selesai cuci mata, perjalanan diteruskan dari Rantau Panjang ke ibu negeri Kelantan pula, iaitu Kota Bharu.





Malas explain banyak - banyak, sekadar tempat yang aku pergi sahaja. Yang pasti, aku suka Kota Bharu dek rata - rata orang disini bertudung dan berkopiah. Hari Sabtu adalah hari hujung minggu di Negeri Kelantan disebabkan Jumaat dah cuti. Kiranya, kitaran mingguan disini bermula dengan hari Ahad. Mungkin disebabkan itu juga, Bandar Kota Bharu hari tersebut jadi tumpuan, kami terpaksa mengambil masa untuk cari parkir di sekitar pusat bandar. Oleh sebab nak jalan - jalan, kami parkir berhampiran perkarangan Istana Jahar di Jalan Sultan. Dekat pun dengan masjid negeri. Masjid negerinya pun tak lenggang dek orang, ada sahaja yang datang berkunjung menunaikan ibadah.





Banggunan ikon Kota Bharu, Kelatan.



Selesai ke Masjid, kami ke Muzium DiRaja Istana Batu. Muzium ni khas buat orang tempatan mahupun orang luar untuk mengenali susur galur kerabat sultan kelantan termasuk latar belakang mereka dan cara hidup mereka dari dulu sehingga sultan sekarang ini. Asalnya dibina untuk sebagai hadiah perkahwinan Sultan Yahya Petra sebelum diserahkan kepada awam buat orang ramai mengenali kerabat mereka. Harga tiket untuk memasuki muzium tersebut adalah RM2.



Dalam muzium, kamera dibenarkan bawa sekali.


Next, Kampung Kraftangan. Kawasan terjaga mula dibuka 8.30 pagi sehingga 4.45 petang setiap hari, merupakan medan buat mengenalkan budaya dan hasil kraftangan penduduk tempatan kepada orang luar. Terma yang sesuai mungkincommercialise. Terdapat beberapa kraftangan, seperti songket, batik serta ukiran kayu yang boleh dibeli di sini, semuanya hasil tangan orang tempatan.




Senang nak jumpa kawasan ini, lihat je gerbang yang tertulis
Kampung Kraftangan


Menjadi kebiasaan aku jikalau melawat sesuatu tempat, pasti akan kucari baju "I love ____". Tercari - cari juga baju I LOVE KELANTAN di kawasan ini. Ada, cuma harganya mahal sedikit berbanding di negeri lain yang kebiasaannya pada harga RM10. Cuma baiknya disini, kain baju yang dihasilkan disini jenis yang lembut, tebal selesa dibuat pakai. Jadi, aku angkut baju satu, pada harga RM15.




Dekat je dari pusat bandar.



Kenapa ke sini ? Haa ada rakan di Kelantan rekemen kan untuk menginap di hotel sekitar Pasar Malam Wakaf Che Yeh. Katanya, malam hidup sekitar kawasan situ sahaja. Yelah, nama pun pasar malam. Jadi kami pilih untuk menginap semalam di Dynasty Inn Wakaf Che Yeh, hote yang diusahakan oleh orang Melayu, pada harga sekitar RM70 (kalau tak silap) satu bilik. Bilik yang kami duduki cuma sebuah katil queen size, muat muat untuk kami bertiga. Ruangnya pula tak besar mana, tetapi muat untuk solat dalam bilik. Kalau berjalan ikut cita rasa bujang, bilik tersebut dah dikira terbaiklah. Tunggu malam sedikit lepas maghrib, kami keluar pula berjalan mencari makan memandangkan perut pun dah lapar.



Kita ke Food Village !


Sebenarnya malam tersebut kami semua mati kutu, tak tahu nak makan apa dan di mana. Allah permudahkan urusan kami pada malam tersebut bila Peng (Alif Aizat), salah seorang rakan yang menetap di Kelantan, bawa kami ke restauran makanan laut yang terkenal di Kota Bharu, iaitu Food Village.




Makan malam bersama Peng, kanan sekali.




Suasana dalam tempat tersebut. Yes, memang ramai orang.



Restauran ini mengetengahkan buffet steamboat pada harga RM20 sahaja. Terdapat pelbagai aneka hidupan laut dan usah khautir buat orang yang memilih daging atau ayam seperti aku, kerana ayam dan daging juga ada dalam buffet tersebut. Air yang disediakan pula ada 3 jenis, waktu itu, oren, sirap dan air suam. Cuma pelanggan perlu beringat untuk tidak membazir atau cas tambahan akan dikenakan. Komen aku, makan di sini sedap terutama kuah steamboat, cuma ralatnya sistem pengudaraan tempat ini tidak terurus. Dah macam sedut asap haha Mungkin pihak berkenaan perlu mengambil berat perkara ini demi kebaikan pelanggan dan bisnes dia juga. Overall, Nora kasi 3 bintang.




Hari #2 : 23 Jun'13


Keluar lewat pagi tersebut disebabkan katil yang empuk haha Dalam pukul 8-9 pagi, kami check out memandangkan kami bakal bermalam di Terengganu pula. Pagi ini, kami ada date dengan minah - minah Kelantan. Ehem



Dating dekat taman lol


Haaa sarapan pagi kami sebenarnya telah ditaja khas oleh Marky (Asmaak), rakan universiti kami. Adib laa mengorat ajak jumpa haha Dalam banyak banyak sarapan yang dibawa, aku rasa ini pertama kali aku makan benda alah ini ;



Pulut apa entah, sedap. 
Katanya dibeli dari tempat istimewa. 




Nasi Kerabu, biasa dah makan. 
Faveret mak aku ni. 



Tengah makan tu, boleh pulak berlaku drama. Al kisahnya, ada seorang budak sekolah lengkap berpakaian sekolah yang berada di taman tersebut. Dia tiba tiba datang duduk berdekatan tempat kami. Selang seminit dua, ada seorang lelaki berpakaian hitam datang menghampirinya. Dalam loghat Kelantan, aku dapat menangkap kata - kata mereka berdua, soalan biasa. Adik siapa nama, dari mana, kenapa lari dari sekolah. Baru hati aku hendak puji pakcik tersebut, tiba - tiba datang sebuah kumpulan dalam 5-6 orang siap lengkap dengan cameraman. Wah, caught in action !  Rupa rupanya pakcik tersebut adalah polis rondaan yang sengaja mencabut pakaian uniformnya. Elok budak tadi jawab satu per satu soalan, sekarang dah menangis tersedu - sedu. Aku cuma mengagak, bila lihat budak itu gayanya baik, dia lari daripada sekolah mesti nak elak diri dibuli oleh pelajar, bahkan guru. Hmm, everything happens for a reason. Silap budak itu jugak dia lari daripada sekolah. Dah malu Marky selaku tuan rumah, hahaha





Muzium Perang atau Bank Kerapu


Okay, sebelum menghadiri jemputan makan tengah hari, kami sempat singgah ke Muzium Perang yang terletak di tengah bandar Kota Bharu. Muzium Perang, atau sebelumnya dikenali sebagai Bank Kerapu kerana asalnya banggunan tersebut pernah digunakan sebagai pejabat bank pertama di negeri Kelantan tercatat pada tahun 1912. Oh digelar 'Kerapu' kerana permukaan banggunan yang bergerutu. Muzium Perang kini dijadikan buat mengenang kembali peristiwa yang berlaku semasa Perang Dunia Ke-II khususnya yang berlaku di negeri ini sebagai tempat pertama Jepun mendarat. Buat peminat sejarah peperangan seperti aku, muzium ini berbaloi untuk dilawati pada harga RM2 sekali masuk. Hah, dah puas belajar sejarah, perut pula terasa lapar. 



Kedai biasa biasa je tepi jalan tapi ramai orang.



Padu jugak.



Seterusnya kami ke Zaeman Nasi Kukus, salah sebuah kedai yang terkenal di ibu negeri ini. Terima kasih kepada Iqin (Raziqin) kerana telah membawa dan belanja kami semua disini. Pweh, alhamdulillah murah rezeki betul :p Sedikit pedas kuah dia, ingatkan dekat area Kelantan dengan Terengganu ini semuanya manis manis. Rating dia aku kasi 3/5, sebab aku kureng sikit nasi kukus sebenarnya hehe Dah orang belanja makan jela kan haha

Next,






Kami ke Wisma Songket Hjh Che Bidin Cik Yin (link foursquare). Bila pulak D-SIM rajin beli songket ni ? Sebenarnya wisma ini juga rumah kepada Marky. Alang - alang menyeluk pekasam, boleh lihat lihat apa yang ada dalam wisma tersebut. Asalnya perusahaan ini bermula dari tradisi neneknya sebelum diwarisi dan diuruskan oleh bapanya. Pelbagai aneka warna, pilihan serta kualiti kain songket yang dijual disini. Ada kain sahaja, ada juga kain pasang siap. Sebarang tempahan juga diterima. Sekarang ini, terdapat pelbagai badan organisasi yang menempah kain songket daripada syarikat ini. Antaranya, untuk pelajar sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Kalau tak silap, MRSM TGB.



Cantik.


Masa melawat hari itu, ayah Marky ada. Siap jadi tour guide, haha Baik orangnya. Oh sebelum balik, Marky ada cakap, kalau ada member nak kahwin nanti, siapa nak sampin boleh beli dekat dia, ada harga diskaun. Haha ok sayang kau Marky. 



Opss.



Thanks to Iqin (right) and Marky. Baik diorang ni.
Sesiapa berkenan nak buat bini sila contact saya, tq.



Rasanya dalam merata tempat berjalan, tak pernah sampai lagi ke Pantai Cahaya Bulan. Jom !



Ambil feeling.


Waktu itu berjerebu, had pemandangan kami terbatas kepada beberapa kilometer. Walaupun begitu, dengan matahari terik panas, entah kenapa boleh duduk diam menghadap Pantai Cahaya Bulan dalam 5 minit. Antara isu perbualan utama saat itu seingat aku, perihal keputusan tahun pertama kami. Dikhabarkan, esoknya adalah hari keluarnya keputusan peperiksaan. Hmm, ikutkan cuak, aku dari Mekah dah cuak dah. Waktu tu memang doa banyak banyak sampai bila fikir balik dah tak risau pulak. Bukan apa, risau juga kami kalau kalau keputusan teruk, kasi spoil pula perasaan nak berjimba. Hasbunallah wanikmal wakil. Rabbi yassir, walatuasir.



Dalam perjalanan sepanjang jalan pantai, kami sempat singgah sebentar di Pantai Irama dalam Jajahan Bachok. Berbeza dengan Pantai Cahaya Bulan, di sini lebih ramai orang bermandi manda selain terdapat banyak gerai makan. Kami ambil feeling juga disini, sambil menikmati ais krim roti. Masyukk !



Air terjun peringkat paling bawah ni kurang sesuai dibuat mandi.




Entah kenapa Google tulis Air Terjum Jeram Pasu. 
Yang pasti, tiada liputan 3G, kena tanya orang kampung sikit.


Kalau tadi kami di pantai, kali ini kami singgah sebentar di Air Terjun Jeram Linang. Agak jauh perjalanan kami disebabkan asalnya kami berada di kawasan pantai sedang air terjun ini berada dalam Jajahan Machang, sebuah daerah bersebelah dengan Negeri Terengganu. Tujuan singgah ? Saja, alang - alang turun ke bawah menghala Terengganu, kami singgah di sini dahulu. Hairan di sini, tak ramai orang. Mungkin rata rata sibuk di kantor, mahupun sedang bersekolah. Dan kebiasaan bagi air terjun, nak yang jernih, jumpa air terjun yang tinggi perlu 'junggle trekking' masuk ke dalam hutan. Since we don't have that much time to do so, kami sekadar solat di sebuah surau kecil di sini. Sedihnya, surau tersebut kotor dan berhabuk seperti tiada siapa yang jaga langsung. Selaku orang yang bermusafir, agak terkilan dengan keadaan tersebut dan moga moga ada pihak yang prihatin akan surau tersebut.

Next,



Dekat je, jalan pun lebar padahal jalan kampung.


Air terjun tadi merupakan destinasi terakhir kami di Kelantan sebelum meneruskan perjalanan masuk ke dalam negeri Terengganu. Daerah pertama kami jejaki, Daerah Besut dan kami terus menuju ke Bandar Jerteh yang terletak di tengah tengah daerah tersebut. Kerana di sini, ada seorang sahabat Nazirul, sedang menanti ketibaan kami. Ikut perancangan, kami ingin menetap sahaja di rumahnya tetapi pada saat saat akhir, terpaksa ubah rancangan dek rumah Nazirul sedang berkemas untuk berpindah rumah. Jadi, sejak dari perjalanan kami dari Pantai Irama lagi Nazirul sudah mencari tempat yang sesuai untuk kami menginap.





Sebilik tinggal 6 orang pun muat aku rasa.
Laman hijau yang terpikat tu.



Memandangkan hari hampir gelap, Nazirul terus membawa kami ke tempat menginap di Jerteh Riverside Chalet & Riverside (link), sebuah chalet yang diusahakan oleh orang Melayu. Chalet ini kondusif, laman bawahnya luas, malah kawasan sekitar dikelilingi oleh pokok menghijau. Dan chalet ini juga menghadap Sungai Kenak dan berdekatan dengan Masjid Hadhari. Buka tingkap dah boleh nampak kubah masjid. Harga sebilik cuma RM50 semalam, dan kami tinggal berempat termasuklah Nazirul. Tiada apa - apa yang kami buat sementara menanti azan maghrib melainkan berehat rehat sebentar. 



Kampung Kuala Besut, tak jauh daripada Bandar Jerteh.


Adib sebenarnya dah nak pekena makanan laut yang dibakar. Ditanya Nazirul, dia bawa kami ke Kampung Kuala Besut kerana di situ ada terdapat sebuah restauran terkenal buat penduduk tempatan mahupun pelancong dari luar negeri. Nama restaurant tersebut adalah Restauran Zul Ikan Bakar, terletak berhampiran dengan jambatan.



Terpacak benda alah ni besar besar tepi jalan.


Aku sebenarnya hairan juga kenapa nak makan awal awal, kalau boleh ditangguh lama sedikit dalam pukul 10 malam rasanya masyuk jugak. Kena pula kami bertiga mata dah berat, kepala rasa mamai. Kata Nazirul, restauran ini selalu ramai orang sampai kena datang awal. Itu yang dibawanya kami sejurus lepas maghrib. Mujur waktu kami pergi itu, kurang orang atau boleh jadi belum ramai ada orang lagi ? Tetapi ralatnya ada beberapa jenis ikan yang telah habis dibuat bakar. Tak ingat apa yang kami pesan malam itu. Rasanya ikan merah bakar, sotong, sayur campur dengan air sirap satu jag.



Sotong masak tepung. Sekejap gila habis kalau yang sambar tu semua 'jerung'
Haha Pergi Kelantan atau Terengganu, belilah sos buatan kampung. Sedap.



Menu utamaaaaaa (telan air liur)


Kalau tak silap, semua sekali kami belanja dalam RM60 sahaja. Maknanya, seorang cuma perlu belanja RM15 untuk menikmati hidangan sedap macam ini. Berbaloi ! Sebelum kami pulang untuk tidur, Nazirul bawa kami ke Pantai Air Tawar, sebuah pantai berdekatan. Kami semua bersahaja, memanaskan punggung di salah satu tempat duduk di situ sambil melayan angin sejuk dihembus dari laut. Makanan dalam perut pun belum habis turun. Banyak perkara kami bersembang dengan Nazirul, terutamanya kisah kisah sekitar Daerah Besut. Jerteh ni asalnya daripada Kelantan, oleh sebab itu loghat Kelantan di sini lebih kuat berbanding loghat Terengganu. Ada juga bertukar cerita pasal PRU13 yang masih hangat waktu itu. Ada juga bertanya khabar tentang perjalanan dia ke Pulau Perhentian tempoh hari. Mana tahu kalau kalau kami boleh buat bersedia mana yang patut ? Aku suka begini, suka bertanya perkara lokal, buat menambah ilmu juga.





Hari #3 : 24 Jun'13



Antara topik perbualan kami malamnya tadi, "Apa boleh pagi esok Nazirul ? Kitaorang free waktu tu".


Perjalanan ke Hutan Lipur Lata Tembakah.


Nazirul cadangkan kami ke Hutan Lipur Lata Tembakah. Memandang ini adalah hutan lipur, maka kawasan sekitar adalah dalam jagaan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan sebarang urusan masuk keluar kawasan tersebut mesti dilaporkan pada pihak berkenaan. Bagi setiap orang dewasa, bayaran RM2 dikenakan manakala RM1 dikenakan pada kanak - kanak berusia 12 tahun dan kebawah. Terdapat beberapa kawasan disediakan untuk berkhemah atau pengunjung boleh menetap sahaja di chalet sekitar sini. Mengikut peta yang tertulis pada papan tanda, air terjun di sini ada lima tingkat yang memakan masa 20 minit berjalan kaki dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. 



Setelah 20 minit berjalan.


Cuak juga berjalan naik ke atas sebab boleh bilang pakai jari berapa ramai pengunjung lain yang berada di sini. Takut juga kalau panjat lagi tinggi, lagi kurang orang, lagi jauh daripada pejabat urusan kawasan ini, lagi risau kalau ada apa apa yang terjadi. Oleh sebab itu, kami pilih untuk bermandi mandi di kawasan air terjun tingkat 2 sahaja.




This is how I define tranquility.



Nazirul in action.


Pun begitu, di tingkat 2 sahaja air sudah dalam, jernih sesuai untuk bermandi manda. Sejujurnya, aku jenis yang tak suka mandi air laut mahupun air sungai disebabkan kualiti air sungai. Tetapi di Hutan Lipur Lata Tembakah, situasinya berbeza. Siapa tak geram bila lihat anak anak ikan boleh lihat jelas bermain di kaki bila celup sahaja ke dalam air ? Baling sedikit roti, lagi banyak ikan yang datang. Dah macam tengah buat spa haha Ada baiknya juga kurang orang, bila nak bergambar macam dalam gambar di atas senang. Baru rare orang kata hehe Aku memang rekemen sesiapa yang datang ke kawasan Jerteh, singgahlah ke air terjun ini. Berbaloi !



Nasi dagang (y)


Memang layan habis kalau perut tengah lapar tu dapat pula makan nasi dagang. Pehhh Kalau nasi kerabu kegemaran emak aku, nasi dagang pula jadi pilihan aku bila memilih makanan daripada negeri Pantai Timur. Entah siapa punya idea nak bungkus sahaja nasi dagang dan makan di sini, and it was brilliant. Makan pula depan alam menenangkan. Nasi dagang ini dibeli di Bandar Jerteh pada harga RM3 sahaja. Murah amat !



Thanks to Nazirul(left). Dia pun baik orangnya. 
Sesiapa berkenan sila PM saya.




Jauh (berpeluh)


Dalam tengah hari, kami bertolak pula ke Kuala Terengganu yang memakan masa 90 minit perjalanan. Tujuaannya nak ambil Ding Ganu (Hafiz) di sana, dah dia menetap di Kuala Terengganu. Dia ni masalah sikit, anak emas, so transportation pun payah jugak nak minta kebenaran walaupun bapak tokey besar kereta haha Aku sikit pun tak ingat hal sepanjang perjalanan ke Kuala Terengganu disebabkan aku nyenyak ketiduran di belakang haha Sedar sedar di berada di atas jambatan melintasi Pulau Duyung dimana kita boleh lihat kalimah Allah besar di atas bukit.



Pening banyak sangat pilihan


Sementara menunggu Ding bersiap, kami singgah sebentar di Kedai Kuih Gong Kapas. Tempat disini terkenal dengan aneka kuih muih sehingga mendapat perhatian pengunjung luar Kuala Terengganu termasuklah kami bertiga. Sejujurnya, aku ni tahu makan terkadang aku sendiri tak tahu nama makanan tersebut. Jadi aku main tunjuk je kuih muih nak aku lihat selera untuk makan haha Harganya dah lupa, tetapi yang pasti kuih muih di sini tidaklah semahal di Kuala Lumpur/Selangor.



  Ambil angin di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.


Seterusnya kami bersantai di Pantai Batu Buruk. Waktu itu, kurang orang, pantainya pun bersih, senang mata melihat. Bajet tea time, kuih muih yang dibeli, dibawa dan dikongsi sama di sini sambil muka dihembus angin lembut dari laut. Sedang berehat rehat, tiba-tiba kami jadi gelabah. "Result is out", terbaca tweet dari rakan uni. Sudah kelam kabut semua. Nak check atau tidak ? Kalau check sekarang, result cantik bolehlah bercuti dengan tenang. Masalahnya kalau result kureng atau gagal, dah pening kepala nak repeat Ogos depan. Dalam teragak agak, semuanya nak tahu keputusan masing masing. Dalam teragak agak, semuanya nak tahu keputusan masing masing. Periksa keputusan serentak, alhamdulillah, lulus cemerlang. Syukur tak putus putus petang tu sebab boleh berjimba dengan lebih tenang ! :D




Bergambar dengan background Masjid Kristal.


Usai ambil Ding, kami terus ke Masjid Kristal bagi menunaikan tuntutan solat 5 waktu kami. Di sini boleh lihat keunikan ciptaan masjid disamping terdapat beberapa buah mini-masjid terkenal serata dunia di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man. Bagus juga dengan pembinaan tersebut, sekurang kurangnya dapat kita kenali dan diberikan sedikit pendedahan masjid terkenal serata dunia cuma pada skala yang lebih kecil. Jangan lupa berdoa agar dapat kita melihat dengan mata kita sendiri akan masjid masjid tersebut amin.




Pekat, terbaik.

Lepas maghrib, kami bergerak ke Warung Norazila Kuala Ibai yang terletak di pinggir Kuala Terengganu. Katanya restauran ini terkenal oleh penduduk sekitar. Nasi dagang ada, nasi minyak ada, pulut kuning pun ada. Air buahnya pula segar, tidak pula ditambah dengan perisa. Seingat aku, aku ambil air buah dragon fruit dengan nasi dagang. Makan sokmo hari ni. Harganya maaf, dah lupa haha tapi berpatutan laa. Kebetulan ada senior duduk berdekanan, makan di warung ini pun sedang dia yang cadangkan jumpa dan makan di sini. Inilah syoknya roadtrip tempat yang ada rakan, boleh berjumpa bersembang sakan biarpun luar waktu semester.  



Ikan bakar lagi !


Puas bersembang, kami sambung aktiviti makan makan di D'Ganu Seafood Cafe yang terletak di Pualau Duyung. Hah, walaupun gerainya kecil sahaja, tetapi awal awal lagi kena tempah meja takut ramai pengunjung malam tersebut. Dan memang ramai orang pada malam tersebut. Dengan bajet RM16, kami makan malam bertemakan makanan laut di sana. Sedakk boh.




Sebelum tu, ambil video dulu muka muka lapar haha






Bulan putih, tanda hari - hari putih sekarang ini.



Lepas makan, kami berehat sebentar di jeti berhadapan restauran tersebut. Tepuk tepuk perut sikit kasi kendur dah tegang sangat makan banyak sangat hari ini. Sebentar lagi aku jadi pemandu, pulang semula ke Besut kerana esoknya kami ke Pulau Perhentian melalui Jeti Kuala Besut. Duduk bersila di bawah rembulan terang, lagu Coldplay - Yellow kumainkan. Tenangnya angin malam. Rasa seronok berjalan walau terkadang badan terasa penat. Syukur kupanjat kepada tuhan.



Ikuti ;


Roadtrip : Negeri Pantai Timur - Bhg. II




P/s : Seminggu taip entry ni haha

No comments:

Post a Comment