Friday, October 17, 2014

Berlari




السلام عليكم و رحمة الله و بركات



Kumpulan kumpulan awan gelap berarak dari utara ke selatan, mengikuti tiupan angin sebelum dibawa suatu tempat bersedia untuk diperah isinya buat jatuh ke Bumi. Biarpun waktu terkadang redup terkadang bermandikan cahaya terik dari sang mentari, bahangnya hari ini terasa pada kulit keras kami. Bersahaja kerna pesan baginda, usah tergesa gesa menuju ke rumahNya. Bukan bermaksud mengambil ringan akan solat berjemaah, tetapi tingkah ke masjid, berjalan, berlari mahupun berkenderaan pun tak perlu tergesa -gesa sehingga tercungap - cungap jadinya. Bukan hati seorang muslim adalah berkeadaan tenang ?

Dalam melangkah, kami berbicara perihal tahun terakhir kami di tempat ini. Masing masing dengan karenah projek masing - masing. Ada antara kami buntu tak tahu mana nak mula tak tahu apa yang perlu dibaca perlu dicari. Ada juga yang sudah tersenyum gembira bagai boleh lihat kesudahan projeknya nanti. Sedang ralit, telinga menangkap suatu bunyi dari pembesar suara dari masjid di hadapan. 

"Ikut pengalaman kau D-SIM, sebelum kau guna mic, kau akan ketuk mic tersebut, test berfungsi mahupun tidak. Ini juga bermakna. . ", getusan hati tersebut berakhir dengan mulut memilih untuk diam seribu bahasa. Tak fikir apa, terus aku berlari. Iya, aku berlari, berlari sekuat hati ke arah pintu pagar tersebut, memasuki kawasan masjid. Sampai sahaja aku tersenyum, sebelum fikiran aku tersentak, teringat ada rakan di belakang. Laju kepala aku berpusing kebelakang, aku dapati seorang rakan berlari, sehingga hampir kepada garisan pintu pagar masjid, dia seakan akan melompat, gaya beria benar mahu sangat sangat melepasi garisan tersebut. Tersenyum puas aku waktu itu, rasa bahagia ini tuhan sahaja tahu. Tertinggal seorang rakan dibelakang. Mula - mulanya terpinga-pingga melihat kelakuan kami sebelum berjalan pantas mengejar kami. Terus aku tertawa gembira, bila kami semua 'selamat' tiba. 

Dua tiga saat selepas itu, kedengaran azan memanggil umatnya untuk menunaikan solat jumaat bersama. Dengan senyum yang masih bersisa, kami kembali berjalan bersama dalam menyahut seruan muazin. 


Ya Allah, 
jadikan hamba-Mu ini mencintai orang - orang yang beriman 
dan 
jadikanlah orang - orang yang beriman mencintaiku.



Bahagianya aku ya tuhan, bila terasa nikmatnya bersahabat atas namamu.
Semoga kau rahmatiku, semoga kau rahmati sahabat sahabatku.
Amin.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...