Sunday, December 11, 2016

Kuala Lumpur




السلام عليكم و رحمة الله و بركات



Terhidang cuppuccino panas di hadapan mata, terasa mahu menggaru sendiri kepala ini. Rasa deria dengar mula menghilang, bila mata tertumpu pada secawan kopi itu. Seolah - olah ada cekerawala indah di atasnya, serupa bekas jampi milik Pak Belalang.


Dan kau D-SIM, apa mimpi tiba - tiba lepak kat Caffe Bene? Korean cafe pulak tu hahaha

Entah, sejak pulang melawat bumi Eropah tempoh hari, rasa mahu berjimat cermat. Bukannya tabur duit di tempat berhawa dingin Sunway Piramid sini. Kumpul balik duit? Mungkin. Mungkin iya mungkin tidak. Mungkin iya, mahu kumpul duit travel semula. Benua Australia barangkali? Katanya Norway dan Iceland negeri cantik. Mungkin tidak, kerna yang buatkan aku rasa perlu berjimat cermat terhasil pada rasa kagum cara survivor rakan - rakan di sana. Atas bagaimana mereka biasakan diri memasak atau asimilasikan selera makanan mengikut tempatan sana, supaya bahan memasak mudah dicari. Erti kata lain, murah juga, dapat berjimat pun. 



Modest breakfast at Romedihof Backpacker Hostel, Imst, Austria.
Me kenot move on lah from this place.


Kagum cara mereka bergantung pada public transport, biasakan berasak atau berjalan jauh dari tempat tinggal ke mana mana stesen berhampiran. Sistem public transport sana boleh jadi suatu persoalan utama bila dibandingkan dengan sistem kita di sini Malaysia, tapi apa yang aku cuba ketengahkan, rasa bergantung atau sikap memilih public transport melebihi keselesaan diri daripada memandu berseorangan. Suatu perkara yang terkesan aku kira dari perjalanan berbelas hari di beberapa negara Eropah sana dahulu, buatkan aku rasa perlu untuk carpool. Tak kira dari mana atau ke mana, aku biasakan diri bertanya masih ada tempat untuk aku atau menawarkan diri untuk carpool sahaja. Ah, malas aku berceramah pasal pencemaran bunyi, karbon monosida, pemanasan suhu tempatan. Meleret pula jadinya post ini haha

"Kau tahu tak D-SIM?"

"Hmm?"


Fikiran aku teralih dengan sekelip mata. Hampir terlupa aku bersama dengan 8 rakan di sekelilingku. Hampir terlupa tujuan asal adalah 'membuang masa' bersama rakan. Walau budaya melepak bukan perkara yang aku suka, tapi kalau sekadar bertemu, bersembang waktu lunch atau dinner, tak salah rasanya. Lagipun hari ini hari minggu. Alhamdulillah, semuanya sudah bekerja di merata syarikat sekitar Lembah Klang kecuali seorang. Seorang yang sedang menegur aku ini. Susah gamaknya dia nak move on dari kehidupan sebagai seorang pelajar? (Aku tahu kau baca post ini, jangan kecam please hahaha) Oh well, paling kurang dia bakal bergelar pelajar PhD bulan hadapan. Itu pun ada syarikat yang taja. Apa - apa pun yang pasti, kami semua sudah maju setapak kehadapan, melalui liku hidup yang mula terkait rapat soal kisah realiti.  

"Padia?"

"Aku dah lama tak baca blog kau. 
Kejap aku check. (Sambil scroll). 
Ada satu dua tiga...lima je kau post dalam tahun ni!)"

Erk, betul juga. Serta - merta aku koreksi diri, mencari alasan paling munasabah disebalik jumlah entri yang berkurangan. Rasanya ada tahun, aku menulis sehingga beratus entri. Mana entah hilangnya mambang yang meniup semangat sebegitu rupa? Tapi kata orang tua, "Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih." Boleh jadi, asyik pada kehidupan kota Kuala Lumpur.



Hairan rasa, bila dipenghujung zaman belajar dahulu, langsung tidak terlintas difikiran untuk bekerja di Kuala Lumpur. Apatah lagi rasa mahu menetap langsung disini! Ternyata kini fikiran aku terus berubah 180 darjah. Terasa mahu menetap berkeluarga terus disini. Tipulah kalau aku tidak mencari - cari peluang lain, masakan aku berusaha semampu boleh mencari biasiswa ke UK sana. Cita - cita aku melanjutkan pelajaran diperingkat ijazah sarjana masih subur, biarpun liku kehidupan tidak seperti apa yang aku harapkan. Biarpun sudah berusaha, takdir tuhan dan aku redha. Oh, aku saje letak gambar havoc, kerna aku mulai faham apa itu kehidupan di tengah tengah pesat ibu kota. Havoc. Pernah terfikir beberapa budaya atau pola fikir orang bandar yang 'sedikit' berbeza dari kebiasaan? Cara mereka berdiri gah biarpun omongan sebenarnya kosong? Sejujurnya aku baru hidup kira kira 3 - 4 bulan di kota ini, jauh berbeza pengalaman yang aku rasakan berbanding waktu zaman sekolah menengah sekitar tingkatan 4 dan 5 di kota ini dulu. Baru beberapa bulan, terbuka hijab mata satu demi satu terhadap kota ini. Betul, budaya hedonism di sini tinggi tetapi di Kuala Lumpur juga terdapat pelbagai pasentran dan aku juga ikuti salah satunya, Darul Murtadza. Belum kira insitusi insitusi pengajian tinggi di sini, sama ada IPTA mahupun IPTS. Kalau Bangi dikenali dengan hub pengajian tinggi, atau bukit ilmu bab kata pengantara Jejak Tarbiah, TREX pula bagaimana? Hub manusia memabukkan diri? Pernah lalui kawasan 'gelap' sekitar Chow Kit Road dan Bukit Bintang? Lihat manusia mabuk pada malam malam tertentu, melihat juga gelandangan tidak terkira ramainya pada tiap tiap malam. Bapuk atau pelacur di mana mana. Dan di kota ini jugalah, aku berjumpa ramai orang yang berjaya. Dari kerjaya pelantar minyak, syarikat sendiri, programmer, membawa aku ke suatu pandangan muktamad terhadap kota ini. Orang - orang soleh solehah pula masyaAllah, malu aku dengan mereka. Hatta Mufti Menk, Nouman Khan, Syeikh Hamza Yusuf jika berceramah di negara ini, mana lagi kalau bukan wilayah ini? Kuala Lumpur ternyata tempat menipu bagi sang menipu dan tertipu, atau ternyata tempat berpotensi tinggi melonjakkan diri sendiri, bila terbentang depan mata potensi kota ini sendiri.

Apa kaitan Kuala Lumpur sebagai alasan aku tadi? Hmm, mungkin terlalu asyik dengan kehidupan kini, makin kurang membaca aku dibuatnya. Bila kurang membaca, kurang ilham untuk jari jemari berlari atas kekunci. Bagai ada not noktah, terkadang berhenti mencari idea menulis lagi. Tempoh hari ada team The Vocket minta aku sambung menulis perihal kapal TLDM yang aku lewati dulu. Dah kelaut rasanya semangat itu. Tak berbalas pula permintaan mereka. Ah, aku pun sedang sibuk. Sibuk biasakan diri pada fasa kehidupan kini, ujian pun, terkadang terduduk aku dibuatnya.


Kini aku tertanya, kenapa Allah tempatkan aku di bumi ini?


Cuma. . . 


Kadang kadang aku tertanya juga, apa aku buat kini, berisi masa hampir 20 jam sehari, semakin baik untuk diri di dunia ini dan akhirat sana, atau apa yang aku buat segalanya sia - sia?

No comments:

Post a Comment