Bingkas segera
Usah berlengah
Lupakan lelah
Majulah
Berseluar slack khaki, lengkap dengan baju melayu
merah. Rambut disisir rapi sebelum mengenakan kopiah hitam pemberian abah suatu
masa dahulu. Tersenyum aku di hadapan cermin. Segala pujian bagi Allah yang
memberikan hamba ini rupa. Dalam memerhatikan apa yang belum sempurna, aku
terlupa sesuatu rupanya. Butang baju melayu. Cepat D-SIM cepat cari. Nanti,
kalau melepas solat sunat rawatib, rugi ! Solat sunat rawatib ini hebatnya
sehingga ada qada' bagi solat tersebut. Hujah ini berdasarkan sebuah hadis
riwayat Abu Daud :
"Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. terlihat seorang lelaki
menunaikan solat dua rakaat selepas solat subuh. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata
kepada lelaki itu; "Solat subuh hanya dua rakaat sahaja (mengapa kamu menambah lagi
dua rakaat)." Jawab sahabat tersebut, "Saya belum menunaikan solat
sunat dua rakaat sebelum subuh." Maka baginda Rasulullah s.a.w. apabila
mendengar jawapan itu berdiam (tanda setuju)."
Suara azan
Di langit tinggi
Mengagungkan Mu
Puji juga memuja
Allahuakbar
Kata - kata abah tadi benar benar
membuatkanku tersentak. Atuk pun ingin turut serta solat subuh sama ?
Allahuakbar. Sungguh aku kagum padamu orang tua. Biarpun masa muda dan sihatmu
telah lama pergi, namun itu semua tidak mematahkan semangatmu untuk bersama -
sama menyahut seruan muazin di masjid sana. Ya Allah, rahmatilah atuk aku ini !
Kunci kereta kucapai, menyiapkan apa yang patut dalam kereta. Maklumlah, kereta
orang bujang. Bukannya kemas sangat. Kerusi sebelah pemandu pun perlu dianjak
ke belakang sedikit, agar dapat memberikan keselesaan kepada atuk. Baru
mengorak langkah satu dua keluar mendapatkan kereta, langkahku terhenti dalam
membalas panggilan abah dari dalam rumah.
"Mimi pimpin atuk. Biar abah
yang dapatkan kereta.", lembut sahaja bunyi arahan abah
sebelum mengambil sendiri kunci dari tanganku. Lama aku perhatikan abah sebelum
menghilang dalam gelap. Memang aku parkir kereta di kawasan gelap pun semalam.
Apa yang membuatkan aku terdiam tika ini, cuma dua perkara. Pertama, biasanya
aku si tukang driver. Kalau shopping dari pagi
sampai lewat malam sekalipun, kaki ini haa yang letih memandu sedang kaki
mereka letih melawat satu satu kedai yang ada. Kalau tempuh beratus kilometer,
berjam lamanya pun pemanduan, aku yang tukang bawa, yang lain tukang lena.
Hairan. Kedua, biasanya abahlah yang akan pimpin atuk. Pergi kenduri, melawat
sana sini, menziarahi saudara mara, ke hospital mendapatkan rawatan berkala
sekalipun, abah yang pimpin. Kalau bukan abah, emak. Hairan. Kali ini aku yang
kena pimpin ? Jujur aku tak pernah pimpin atuk. Jujur aku tak pernah
pimpin siapa - siapa pun dalam hidup aku. Yang muda, apatah lagi yang tua.
Mungkin, abah ingin mengajarkan aku erti kehidupan, melalui cara ini ? Rabbi
Yassir wala Tua'ssir. Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah kau
susahkan.
Kini tugas bertukar tangan. Langkahku
ikut beralih arah dalam mendapatkan atuk pula. Kelihatan cahaya jingga singgah
ke muka berusia itu. Atuk menjenguk - jenguk keluar bagai mencari sesuatu.
Apakah ? Tangan kanannya berpaut erat pada struktur bangunan, risau jatuh
mungkin ? Tenaga orang tua, bukan macam orang muda. Berjalan pun perlukan
sokongan. Rupanya, atuk mencapai tongkat berwarna emas yang disangkut pada
jendela bergril besi. Oh, baru teringat ! Tongkat itu pemberian mak aku buat
aku gunakan masa naik haji beberapa tahun lepas. Biarpun sudah bertahun - tahun
berlalu, baik - baik sahaja keadaan tongkat itu. Pandai atuk jaga pemberian
orang.
Pagi ini terasa hati senang sekali,
bila dijemput Allah buat mengimarahkan solat subuh di masjid kecil kampung ini.
Belum campur udara segar di pagi hari, termasuk jua sejuk suasana kampung !
Masing masing kulihat tersusun senyuman indah tatkala melihat atuk yang
kupimpim dari tadi. Siapa tidak suka kalau 'orang lejen' solat bersama ?
Sebenarnya dalam kepala sedang berkira – kira, mana tempat atuk hendak solat ? Terhenti seketika segala pergerakan otot kami berdua, kepala pula ligat berfikir. “Eh, tu tu ambil kerusi tu letak di hadapan”, ada dalam dua tiga orang sebut ayat yang lebih kurang sama, pada nada hampir serentak. Seronoknya rasa bila ada orang sudi beri nasihat, bahkan ada pula seseorang tolong ambilkan kerusi tersebut, dibawa ke saf hadapan sekali. Allahuakhbar, sungguh jika hajatkan sesuatu niat yang baik, pasti diberi pertolongan dari yang Maha Kuasa, terkadang tanpa diduga !
“Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh
(iaitu mengerjakannya).”
(Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Sebenarnya dalam kepala sedang berkira – kira, mana tempat atuk hendak solat ? Terhenti seketika segala pergerakan otot kami berdua, kepala pula ligat berfikir. “Eh, tu tu ambil kerusi tu letak di hadapan”, ada dalam dua tiga orang sebut ayat yang lebih kurang sama, pada nada hampir serentak. Seronoknya rasa bila ada orang sudi beri nasihat, bahkan ada pula seseorang tolong ambilkan kerusi tersebut, dibawa ke saf hadapan sekali. Allahuakhbar, sungguh jika hajatkan sesuatu niat yang baik, pasti diberi pertolongan dari yang Maha Kuasa, terkadang tanpa diduga !
"
Hah Atuk apa ? "
Kenyataan memang pahit untuk ditelan
bukan ?
Kata mak, atuk dah nazak ? Allahuakbar.
Bergegas aku bersiap diri dan segera meninggalkan Bumi Ipoh malam ini juga.
Terkejar - kejar aku ke Hospital Kuala Kangsar. Nazak, kondisi yang paling
cemas kalau dalam babak drama di mana - mana filem sekalipun. Kebiasaannya
dalam beberapa minit, mati datang menjemput pelakon yang nazak itu.
Nauzubillah. Aku, belum sedia menerima sebarang pemergian ahli keluargaku.
Rindu kepada arwah Pak De pun masih belum terubat, mahu tambah pula lagi
seorang dalam hidup aku ? Ya Allah, janganlah kau biarkan ia berlaku buat masa
ini. Bukan saat dan detik ini mahupun pada hari - hari yang mendatang. Andai
tiba jua saat itu, tibalah waktu aku berzikir kepadaMu. Ringankan beban hambaMu
ini ya Rabb.
Selesai subuh, aku terdiam. Renungan
dilemparkan kosong dan sepi. Seisi rumah kayu ini yang tampak suram sunyi tanpa
kelibat atuk. Atuk 'bermalam' sebentar di Kuala Kangsar malam tadi sebelum
mendapatkan rawatan selanjutnya di Taiping pula tengah hari nanti. Menghela
nafas dalam, norma kehidupan. Ada masa kita sihat, ada masa kita sakit.
Bersyukurlah kita sihat hampir sepanjang tahun, kenapa perlu mengeluh dengan
sakit dua tiga hari ? Kubuang pandangan ke arah satu sudut. Terdapat sebuah
kerusi, dan kerusi itu selalu dibuat solat oleh atuk aku. Itulah yang paling
dia mampu selain solat dalam keadaan berbaring. Terdetik difikiran, andai tiba
saat aku, apakah dayaku cuma sekadar di atas kerusi ?
Atau. . aku tetap gagah menapak
menyambut seruan azan ? Nafas ditarik dalam, mengeluh. Hidup mati esok aku pun
belum tentu, kenapa tidak aku 'hidupkan' hari ini ? Melangkah perlahan ke
kerusi tersebut, duduk kemas aku menyesuaikan diri. Aku tersenyum bersendirian.
. .
" Atuk, cucu manja atuk sedekahkan
mathurat dengan Yasin ni.
Semoga cepat sembuh yea?"
Kumulakan dengan Bismillah,
serta harapan besar dihati.
Berdoa aku kepada Ilahi,
Kerana hanya Allah yang lebih
mengetahui.
Usai sahaja solat subuh berjemaah, aku
memandu menuju pulang ke rumah, dengan Ayah Cik di sebelah, Pakcik Rahim
bersandar di belakang kereta. Kami perlu pulang segera. Segala benda perlu
dibuat dalam kadar segera. Tak menang tangan dari semalam lagi, cuba sedaya
upaya membantu abah serta pakcik dan makcik aku. Aku pun, nak berbakti buat
kali terakhir. Lagipun, sunnah mempercepat pengebumian seseorang.
“Ayah Cik menitis air mata tadi. Bukan
apa,
biasanya waktu – waktu pagi begini
biasanya waktu – waktu pagi begini
atuk kamu sedang minum air kopi O’
dirumah”
Tersentak. Betullah, atuk suka kopi O’
dan memang waktu begini waktu dia segar bersama kopinya. Aku pun ‘liar’ diwaktu
ini. Atuk dengan kopi, aku dengan teh. Kombinasi atuk cucu kini sudah tiada
lagi. Tambah Ayah Cik, rupanya waktu aku sekeluarga datang bertandang berbuka
puasa itu merupakan hari terakhir dia sihat sebelum jatuh sakit. Sayu, rasa
sebak di dada. Ya Allah, sempat juga aku sekeluarga menggembirakan dia ! Arwah
mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar, Hospital Taiping, Hospital
Sultanah Bahiyah Alor Setar dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau
Pinang dalam 10 minit sebelum azan asar berkumandang pada 15 September 2012.
Sempat juga atuk yang sakit itu berpuasa penuh tahun ini. Semoga roh atuk
dicucuri rahmatNya, segala amalan diterima, segala dosa dihapuskan, kubur
dilapangkan serta diterangi dengan pancaran iman. Semoga atuk ditempatkan di
tempat yang mulia, bersama - sama orang yang terpuji.
Amin.
Al-Fatihah.
alfatihah
ReplyDelete