السلام عليكم و رحمة الله و بركات
Kepala pusing kiri dan
kanan. Peluh di dahi mula menitik jatuh ke Bumi. Jantung berdegup kencang,
darah mengalir deras tawaf satu badan. Adrenaline pantas
mengambil tindakan, menjadikan diriku tidak keruan. Kipas berputar ligat di
atas kepala, suasana nyaman ruang tamu ini pun masih belum mampu menenangkan
keluh kesah hati kecilku ini. Fikiranku kusut, berserabut.
Kenyataan dari suara dihujung talian sebentar tadi membuatkan aku terdiam buntu tak tahu nak buat apa.
" Hah ? Atuk apa ? "
Berdiri lemah di bawah
lampu malap. Mata dipejam celik dipejam celik, cuba membetulkan pandangan
kabur. Mata kembali dikatup rapat, sambil mulut menguap luas. Mamainya aku
pada pagi begini. Kedua tangan segera diangkat, lalu kukesat-kesat kelopak mata
dengan belakang tangan. Celik semula, terasa segar. Dalam samar - samar cahaya,
mata melingkas ke sekeliling ruang tamu ini. Kelihatan abang dan adik masih
lena dibuai mimpi. Tak mahu sahurkah mereka berdua ? Jarum jam sudah melewati
5.30 pagi. Tolak tambah darab bahagi, cuma beberapa minit sahaja yang tinggal
untuk bersahur.
“Bersahurlah kamu semua
kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.”
– Hadis riwayat al-Bukhari
Biarlah, asyik dengan
kedinginan pagi di kampung barangkali. Tambah pula, masing - masing penat
tiba lewat malam tadi. Hairan aku tukang driver abang dan
adik aku pun masih gah melangkah dalam kesejukan, sedang mereka masih
berselimut ! Lihat abang tu, tubuhnya 'dibungkus' atas bawah
dengan gebar tebal bagai tak mahu lepas ! Mengetus geram di hati, timbul
idea jahat. . “ Apa kata kalau aku ganggu tidur mereka
? Lighting samar - samar sudah cukup baik. Buka tingkap, tambah angin
dengan kipas berdiri. . hah, ada pula telekung mak di sini. Putih bersinar pula
kainnya bila terkena cahaya lampu. Semakin meninggi dan membesar tanduk aku
nampaknya, hehehe. .”, monologku sendirian.
" Kruk kruk
! ", telinga disapa
bunyi dari tingkat bawah.
Langkah kuterhenti. Niat
jahatku mati. Bunyi tersebut seakan dua logam berlaga sesama sendiri. Apakah
? Persoalan tersebut bermukim dihati. Aku bulatkan tekad, perkara ini
harus disiasat. Dasar jiwa muda, segala persoalan perlu dirungkai dengan kadar
segera ! Berderap perlahan, kerana setiap kali aku menapak, bunyi tapakan itu 'dirakam'
dan 'dimainkan' kembali oleh lantai kayu. Semakin kuat
hentakan, semakin kuat lantai melaung. Biasalah, rumah kampunglah katakan.
Teraba - raba aku mencari palang pintu. Perlu hati-hati, andai teraba binatang
berbisa bahaya juga. Macam - macam boleh terjadi sekarang ini. Dua bulan lepas,
Mak Mah hujung kampung ini. Ingatkan ekor kucing main dikaki, rupanya ular
sedia membelit kakinya. Nasib saat itu suaminya ahli bomba ada berdekatan.
Pantas sahaja dia menyelamatkan isterinya. Kalau tidak, hmm, tiada rezeki anak
ke empatnya untuk melihat dunia. Hah, jumpa. Kualih tepi palang tersebut, lalu
pintu kayu ini kukuak dengan gaya mendepa. Nah, berebut - rebut cahaya putih
berlari menerjah anak mata kecilku ini !
"
Mimi, mimi ? "
Aku bukan kaki DVD,
tapi feeling sekarang ini, cahaya terang sebegini,
seolah unknown flying object UFO sedang mendarat
dihadapan aku. Aku jangka, alien jahat nih. Suka - suka hati
main suluh mata orang. Eh, mana dia tahu nama panggilan itu ? Sudah. Risikan
makhluk asing yang rapi berjaya mencungkil nama manjaku. Ternyata, risikan
mereka teliti sekali. Benarlah akan apa yang diuar-uarkan oleh paranoid diluar
sana, makhluk asing sudah lama mengintip Bumi !
"
Mari turun makan. Kejut abang adik kamu sekali, mak sudah sediakan juadah sahur
kita. "
Mak ? Makanan ? Ah,
cahaya putih ini menyakitkan mata ! Silau aku dibuatnya. Kalau semberono
melangkah tika ini, jatuh tergolek dari atas tangga sampai ke bawah baru padan
muka ! Percaturan ringkas segera diatur. Mengambil langkah belakang satu dua,
sambil tangan menenyeh mata. Dari atas, kelihatan beberapa orang mengambil
tempat di meja makan di bawah sana. Mulai emak, abah, opah dan eh, atuk ?
Mataku tertancap ke arah
raut wajah di hadapan aku. Rambutnya pendek berwarna putih. Kedutan di muka
tampak jelas, memaparkan lingkaran usia si pemilik badan. Tiada lagi kulit
halus, tiada lagi kulit tegang. Hukum masa, tiada siapa mampu melawan,
termasuklah tubuh badan. Mukalah yang paling jelas menunjukkan usia kita. Kuat
mana bersolek, sakit mana berbotox, tiba masa, kendur juga kulit, jatuh
juga pipi, timbul juga garis kedutan. Bukan begitu lumrah kehidupan ? Mahu atau
tidak, bersedialah. Meskipun usia sudah lanjut, namun senyuman itu tidak pernah
pudar dari muka atuk. Ceria sahaja dia kali ini, sampai senyumannya tidak
pernah lekang dari berbuka semalam. Teringat pula, semalam aku bergegas
mendapatkan abang dan adik aku di kolej mereka. Dalam lewat petang itu, bertalu
- talu panggilan dari orang tua aku, “Ada di mana ?”, “Dah
ambil Anip dan adik?”, “Bawa hati – hati, pandu perlahan”, “Bila
nak sampai nih ? Mak abah atuk opah dah bersedia nak berbuka dah haa”.
Haih, kelam kabut juga jadinya. Dengan aku pula mengidam tercari – cari kek
batik buat pencuci mulut berbuka nanti. Mulanya begini, abang aku bawa satu
idea minggu lepas, agar kami sekeluarga berbuka, terawih, bermalam serta sahur
sekali di rumah atuk. Ikutkan sejarah, sejak pindah ke Ipoh, jarang sekali
perkara ini kami lakukan, lebih – lebih lagi bermalam di kampung berikutan
faktor jarak antara Ipoh dan Kuala Kangsar tidaklah jauh mana untuk berulang.
Biasanya, setakat balik hari sahaja. Entah kenapa, tiba – tiba pula muncul idea
sebegini. Bersepakat sahaja kami menjayakan buah pemikiran abang aku seorang
itu. Siapa sangka, perkara kecil mendatangkan kegembiraan tuan rumah papan ini
? Kata mak, suka benar bila atuk lihat cucu yang trio dia ini
datang biarpun ketibaan kami seraya dengan azan magrib yang baru berkumandang.
Dan, senyuman semalam dan waktu sahur ini, masih sama, masih ceria
melihatkan kami ada bersama. Dia terharu mungkin ? Biasalah dalam kehidupan,
mula hidup berdua, datang pula rezeki bertiga berempat mahupun sehingga
berbelas anak. Namun, bila sudah tua membilang usia, semua anak sibuk dengan
urusan kerja dan keluarga masing – masing, akhirnya kembali tinggal kesunyian
mereka berdua. Kalau kalau ada tetamu luar datang pun hati sudah tertambat,
apatah lagi bila yang datang itu orang yang disayangi, terutamanya darah daging
kita sendiri, kan ?
Rambang mata. Pelbagai
juadah sedia ‘berkhidmat’ buat perutku untuk sahur ini. Tangkas sahaja
aku ambil lauk pauk di hadapan mata. Bukan mudah merasa air tangan ibu dan opah
sekarang ini. Tambah pula, sejak duduk membujang di Ipoh sana. Hampir empat
bulan makan di kedai sampai aku pun naik segan dengan pekedai – pekedai di
serata Ipoh. Mahu atau tidak, terpaksa juga aku buat jadual. Hari ini makan di
kedai ini, esok ini pula, lusa yang area ini pula. Selama aku menjadi ‘host’ jalan
– jalan cari makan, satu perkara yang aku belum jumpa, nikmat kenyang. Kata
kawan, badan kurus, ‘tong’ besar. Benar itu sifat aku. Nasi
mesti minta lebih, minum kena banyak. Perut penuh sekalipun makan, rasa puas,
rasa kenyang itu tidak tercapai. Hairan, haru pun ada bila duit mengalir keluar
bagai air demi mencari nikmat kenyang itu. Mungkin kerana semua restaurant,
warung atau kedai mempunyai satu persamaan, iaitu bukan air
tangan orang tersayang. Betullah, yang biasa aku makan air tangan entah siapa
di luar sana. Belum kira faktor lahiriah dan rohaniah. Bersih kotor dapur
mereka, peralatan memasak, penggunaan bahan itu halal atau tidak ? Rohaniah
pula, solatnya 5 waktu terjaga atau tidak, waktu dia sedang memasak, cacian
rungutan kepada pelbagai masakan perlu disediakan oleh permintaan pelanggan
atau dia bermanis muka sambil menabur zikir dalam ramuan masakan ? Bagi aku,
semua ini diambil kira dalam pemakanan sihat. Siapa lagi yang berikan makanan
sihat sihat khusus untuk kita kalau bukan dari mereka yang kita sayangi ? Ibu,
opah, makcik makcik saudara sekalipun. Sedap satu hal, terjamin ‘halal’ zahir
batin yan utama tu ! Sungguh, aku cepat – cepat cari bini mula kerja nanti, tak
lalu makan kedai bila seorang diri nanti !
Berempat, tapi riuh
rendah. Segala cerita dilemparkan di atas meja bagai jarang benar bersua muka.
Berhubung melalui telefon pun masih belum cukup gamaknya. Tidakku hiraukan
suasana kerana aku lebih 'fokus' terhadap makanan dihadapan
mata. Ada masa, telinga cuba menangkap nama si polan bin si polan orang kampung
sini sambil otak cuba membayangkan mana satu tuan badan nama tersebut. Dewasa
kini bukan seperti anak kecil dahulu, kena keluar rumah dan belajar
berinteraksi, mengenal masyarakat sekeliling kita sendiri. Kalau bukan
sekarang, bila lagi ? Kalau pilih hidup bagai kera sumbang, bila terdesak dah
segan - segan minta bantuan daripada masyarakat kita sendiri. Haru.
Kedengaran bunyi kaca
berlaga, namun tiada tanda tanda keriuhan akan berhenti. Oh, atuk mendapatkan secawan kopi rupanya. Senyuman manis kuukir,
hatiku pun turut sama. Aku suka berada di posisi dan keadaan sekarang,
seseorang ralit bersembang sehingga begitu mudah aku mencuri pandang orang
tersebut. Biasanya, waktu begini aku menilai tubuh fizikalnya serta beberapa
butiran diri melalui kata – katanya. Atuk pun tak terlepas juga. Cuma ralatnya,
orang berusia seperti atuk ni kurang bercakap. Susahlah menilai seseorang hanya
pada mata sahaja. Jarang sekali atuk bercerita pasal dirinya di hadapan aku,
mahu atau tidak terpaksalah aku selidik serba – serbi perihal dirinya daripada
abah serta pakcik mak cikku dalam menyingkap sejarah hidupnya. Asal usulnya
tidak diketahui, tapi yang pasti atuk dari keturunan Melayu tulen, berbeza
dengan belah mak aku. Pernah aku lihat dengan mata kepala aku sendiri rupa sijil
surat beranak atuk, kecil nipis dan tunggu masa sahaja untuk relai kerana usia
kertas tersebut sudah menjangkau 80 tahun seraya umur atuk ! Kata abah, atuk dulu
garang sebenarnya. Tidak mengira sulung atau bongsu, kalau siapa – siapa anak
dia yang buat nakal, habis dihambatnya. Kadang – kadang tergelak juga bila
dengar bahagian abah aku pun kena sekali. Sambung abah, atuk pernah mengajaknya menjala di tengah - tengah malam. Berani betul. Hah, ingat lagi atuk waktu sihatnya, pagi – pagi bangun pergi menoreh, mampu
berjalan tanpa menggunakan tongkat malah masih gah membawa cucu-cucunya meronda
satu kampung dengan EX5. Kalau musim raya lagi sakan, dari hulu ke hilir
Kampung Menora dijejakinya, belum kira Kampung Sg.Buaya sebelah sana nun. Namun
ada satu yang paling aku kagum, abah dan mak akui ini, aku pun turut sama. Atuk
mampu membesarkan 10 orang anaknya dengan baik sekali. Seorang ayah mampu
membesarkan semua anaknya, namun kesemua anaknya itu belum tentu mampu menjaga
baik orang tuanya. Terkena. Aku mampu ke nanti ? Mampukah aku membesarkan anak
aku nanti ? Aku paling tidak, yang paling dekat, mampukah aku menjaga baik ibu
dan bapa aku sendiri ? Makan minum pakaian tempat tinggal semua cukup. Nah,
kasih sayang pula mencurah – curah diberikan. Dalam kenikmatan hidup beribu
bapa ini, aku tertanya – tanya, kasih sayang aku kepada mereka pula cukupkah ?
Wahai
Tuhanku ! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua ( ibubapa ) sebagaimana mereka mencurahkah
kasih sayang memelihara dan mendidiku ketika kecil.
-Surah al-isra, ayat 24
Menggeletar aku satu
tubuh badan. Sejuknya mandi pagi. Tangan pula terketar - ketar mencapai tuala
sangkut pada pintu kayu. Imbas kembali masa, mana pernah aku mandi seawal ini
dahulu. Biasanya mandi selepas solat subuh, atau mungkin jam 10 11 pagi, waktu matahari
sedang menegak di atas kepala ? Semuanya berubah apabila terbaca teori bawaan coretan
insani dalam entry Sleep. Katanya, bagus untuk
diet ? Kak Hanisah pun pernah pesan, kalau mahu berjaga pagi kena mandi sebelum
berwudhuk subuh terlebih dahulu. Nanti badan jadi lebih segar, solat pun terasa
ringan dan bukan lagi mamai - mamai. Hah, ada bagusnya bukan ? Aku tak mahu
solat subuh dengan kepala tersenguk - senguk. Apatah lagi dalam kepala hanya
fikir tilam dan bantal sahaja. Tambah pula, Allah ada memberikan peringatan
dalam kalamNya mengenai solat subuh. Solat subuh ini, disaksikan oleh malaikat,
tahu ? Mata berat melihat dunia, mulut pula berterabur membaca surah lazim
dalam solat. Malu aku begitu kalau dihadapan malaikat, belum kira di bahu kiri
dan kanan. Atas sana pula bagaimana ?
Allahu
Akbar,
Allahu Akbar !
Telah terdengar suara
Memanggil memuji yang Esa
Menyeru muslimin dan juga muslimat
Untuk segera bersolat
[Credit]Memanggil memuji yang Esa
Menyeru muslimin dan juga muslimat
Untuk segera bersolat
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Hah, kena pula baru keluar
pintu bilik air sudah kedengaran azan dan peringatan ini perlu disambut sebaik
mungkin, sama ada menjawab azan, berdiri buat solat jua. Masih segar dalam ingatan akan sebuah hadis ringkas berkenaan orang
buta dan azan. Ringkas, namun cukup berisi buat insan yang berfikir. Ibnu Ummi
Maktum berkata:
“ Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumahku pula jauh
dari masjid.
Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan diri saya.
Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? ”
Rasulullah saw bertanya:
“ Adakah engkau mendengar azan? ”
Jawabku:
Ya.
Rasulullah saw
bersabda:
“ Kamu tidak mendapat keringanan.”
[HR
Abu Daud No. 552, “Sahih”].
Periksa diri dihadapan cermin. Sepasang mata jernih dengan anak mata hitam, ada. Telinga kiri dan kanan, ada. Kedua tangan dan kaki pun lengkap sempurna. Kalau boleh melihat, mendengar dan berjalan, apa alasan aku untuk menolak ajakan beribadah di masjid berdekatan sini ? Si tua bangka, jalan terherot - herot pun mampu menjejakkan kaki di sana, apatah lagi aku sihat bertenaga muda ? Antara 7 golongan VIP yang masuk syurga adalah pencinta masjid serta remaja yang hidup dalam ketaatan.
Jadi tunggu apa lagi ?
Ayuh turut serta sama !
Jadi tunggu apa lagi ?
Ayuh turut serta sama !
bersambung. . . .
No comments:
Post a Comment