السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Aku sedar aku bermimpi. Separuh minda aku sedar apa yang sedang berlaku. Namun kubiarkan sahaja, buat apa menggangu mimpi tidur ? Kalau aku kacau, ini bermakna aku kacau tidur aku sendiri sedangkan aku baru sahaja tidur. Risau bangun terlalu awal, risau nanti siang pula aku tidur. Buruknya ibadah begitu, lebih lebih lagi di bulan Ramadan ini. Mimpi kali ini aku merantau di suatu tempat, lapang, tenang. Cuaca nan indah, awan berkepul kepul putih mencorak dada langit membiru. Seronoknya, bila aku dikelilingi teman yang ramai. Aku suka berkawan, aku suka ada teman sepermainan. Lagi - lagi bila berjalan bersuka ria sebegini rupa. Hatta berjalan ke taman rumput menghijau kosong sekalipun, bila bersama dengan rakan, semua perkara jadi. Ada sahaja pun nak diulas, baik diri masing masing, ataupun kekosongan yang terzahir pada taman tersebut. Usik usikan mainan biasa, senyuman indah murah dihadiahkan, gelak tawa timbul di udara. Indahnya bila ukhawah itu terjaga.
' Baginda pernah bersabda :
Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan jangan musuh memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain,
dan jadilah kamu sekelian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.
Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinainya.
Taqwa itu berpunca dari sini - sambil Nabi SAW menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya. '
Hadis Abu Hurairah.
Senang aku bersembang, aku terpandang suatu kelompok manusia. Ramai juga, lebih kurang bilangan kami semua. Mereka semua berpakaian cantik. Sifir cantikku cuma satu jika pada kaum Hawa, lengkap menutup aurat. Kebanyakan mereka memakai tudung labuh, hitam ada putih ada. Yang pasti, tiada pakaian ketat mencolok mata. Bertambah senang hatiku begini rupa, bukan mudah nak lihat orang yang datang berekreasi di taman dunia kesemuanya memiliki perbadi ahli syurga. Tak rugi keluar berjalan kali ini ! Tanpa diduga, aku menangkap sepasang anak mata. Biarpun dari jauh, aku perasan kilauan jernih itu sedang memandang aku. Mata bertentang mata. Suasana sekeliling tenggelam. Riuh rendah kawan tidak kuhairaukan. Bagai dunia tinggal aku dah dia sahaja. Aku hanyut dalam anak matanya, seolah dia ingin berucap seribu kata kepadaku, tapi diri sedia tahu batasnya. Dalam beberapa saat, dia seolah tersentak bagai baru tersedar aku memerhatikannya. Dia tersenyum. Bukan senyuman menggoda, bukan senyuman murah yang senang dapat di pusat membeli belah. Ini senyuman dek malu namanya. Aku tersenyum sinis, lalu cepat mengalihkan pandangan. Istighfar. Kenapa aku biarkan sahaja pandangan tadi ? Haih D-SIM. Tidak pernah berubah. Betullah, perempuan itu tarikan terbesar lelaki. Sehinggakan baginda ada berpesan ;
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda :
“Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela - selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”
Hadis Sahih Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah
Wanita cantik berhijab pun mampu membuatkan kuralit, apatah lagi yang mempamerkan perhiasan mereka ? Senyum tersipu malu itu pun aku cair, apatah lagi yang menggoda ? Sungguh sukar aku mengawal nafsu jika tiada pertolongan dari dua hala, imanku sendiri serta iman kaum Hawa. Moga kita sedar tujuan utama kita berhias, tidak lain, tidak bukan, hanya keranaNya. Namun kali ini, rakan rakanku pula kupandang pelik. Kenapa ? Apa dah jadi ? Mata mereka semua memaku kehadapan. Aku terikut sama, rupanya semua memandang kepada kelempok tadi. Baru perasankah kawan - kawanku ini ? Tapi, ada agenda yang lebih hairan. Si dia seolah mengundur kebelakang, sambil semua rakannya ikut sama. Bagai si jeneral mengatur strategi peperangan, rakannya mengelilingi si dia, tekun melihatkan sesuatu. Adapun si dia menyampaikan sesuatu ? Yang kami semua segan, ada masa, ada antara rakannya mencuri pandangan ke arah sini. Mungkin mencari kepastian, akan siapa yang telah 'mengacau' tadi. Dalam diam, dari jauh, aku bermonolog sendiri : aku mohon ampun akan kelakuaan aku tadi. Ada tiga temannya berpusing arah, semuanya berlawanan arah pandangan kami. Mereka berpadangan sesama sendiri, lalu menganggukkan sesuatu. Capai kata sepakat mungkin ? Mereka berjalan seiringan, sekata, seraya. Eh ? Mereka mengorak langkah ke sini ! Rasa bersalah menjadi jadi. Haru. Ada sesi tegurankah ? Haru, silap aku. Lagi haru, bila mereka berdua mengorak langkah laju ke arahku. Gulp ! Kuatnya lelaki, biar dihadapan perempuan lemah juga !
Malu aku malu ! Malu aku dihadapan teman !
Tiga - tiga bermuka sahaja, tapi manis bersih bagai ada nur. Beranikan mereka berhadapan kumpulan lelaki walau hanya bertiga ? Yang aku tahu perihal perempuan, kalau sudah bulatkan tekad, apa pun sanggup ditempuh. Tembok batu pun sanggup dirempuh ! Salah seorang daripada mereka bergerak kehadapan sedikit, menjadikan dia seolah ketua utusan. Tangannya pantas menghulurkan sepucuk surat. Eh ? Ini dah betul - betul macam ketua utusan ni. Aku tahu surat kecil ini dari si dia, aku tahu, dia punyai malu untuk bersua muka lalu melantik orang kepercayaannya untuk datang membawa berita. Ini cara mereka menjaga adab, rasanya ini adab terbaik buat amalan wanita. Eh, dah macam masuk KISAS pula. Aku melurut membetulkan lipatan kertas dengan akal rasa kehairanan. Kenapa mereka masih terpaku di sini ? Kelihatan tulisan besar diatas permukaan kertas putih bersih. Mula baca. .
" Kita bertemu kerana Allah "
Huh ?
Aku mencuri pandang kearah si dia jauh di sana. Dia kelihatan sedikit cemas, aku dapat baca itu walau disebalik wajah yang tenang. Reaksi tubuhnya menjelaskan segalanya. Dia bagai menunggu sesuatu. Apakah ? Baruku perasan, ada tulisan kecil dibawah itu dan maknanya sungguh mendalam sehingga aku tersentak terjaga dari tiduran ! Bingung, pening, tangan pantas mencapai telefon bimbit Nokia 1600 keluaran tahun 2005. Jam 4.15 pagi. Cinta Dia kudahului, menghidupkan malam bersama Dia. Namun aku tersenyum jua aku, andai itu realiti, aku terima.
Rasulullah bersabda : Barang siapa diantara remaja yang berkahwin dalam usia muda, maka menangis lah syaitan. Dan ia (syaitan) mengeluh :
Aduh celaka aku, agamanya telah terpelihara dari godaanku.
(HR Ibnu 'Addi)
Aku teringin buat syaitan menangis. Tak sangka aku orang yang sudi bantu aku ?
PAP ! Tampar pipi kiri.
PAP ! Tampar pipi kanan.
wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik
adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
Surah An-Nur ayat 26
Aduh sakitnya nak sedarkan diri. Bermimpi disiang hari pula aku.
Usaha mensolehkan diri pun terkentut kentut, ada hati nak bau wangi si solehah ?
P/s : Mimpi ramadan pertama aku tahun ini. Ada makna ke ? Apa - apa pun, hadis berkenaan syaitan menangis adalah hadis daif beserta sanad yang lemah. Tapi, kalau buat pengajaran asal bukan buat perdebatan, boleh diamalkan pada diri sendiri. InsyaAllah.
menariknya kisah ni.
ReplyDeletehmm. .
ReplyDelete