السلام عليكم و رحمة الله و بركات
Mencari satu sudut, diam aku sambil tangan mula menyelak Quran dihadapan mata. Kesunyian malam dipecahkan dengan alunan beberapa ayat surah al-Baqarah. Walau mata tumpah pada kalimah, namun fikiranku tiba - tiba melayang teringatkan arwah Syahmi. Allah. Seorang lagi hamba Allah yang kukenal telah pergi menghadap illahi. Aku tak rapat dengannya, apatah lagi sedorm atau sekelas waktu di ASiS dahulu. Namun cukuplah dengan baktinya sebagai salah seorang ahli AIC ( ASiS Islamic Council ) yang sama - sama memberi kesedaran Islam dalam jiwa anak muda Patriots. Dari jauh pernah aku perhatikan ucapannya dihadapan selepas sahaja solat berjemaah. Siapa sangka, baru ingin menjenguk 20an, tuhan sudah panggil menghadapNya ? Allah allah. Rasa baru bau kapur barus arwah atuk, datang pula berita pemergian arwah opah Akim. Kali terakhir jumpa opah Akim pun usai sahaja uruskan pengebumian arwah atuk. Rasa baru sahaja makan nasi lemak opah. Dan, siapa sangka arwah Kak Ti pula pergi ? Arwah baik orangnya. Sejurus sahaja aku pulang ke rumah Boy, keputusan SPM aku tunjukkan kepadanya. Gembira aku lihat riak wajahnya. Terus aku mengada - ngada minta buat cekodok pisang ( cucur pisang ). Itu dulu, sekarang ?
Nauzubillah, fokus D-SIM, fokus !
Mata kembali tertancap pada ayat seterusnya, ayat 155.
Eh ?
Sambung pula ayat 156. .
" inalilahi wainailaihi rajiun ".
Quranku tutup rapat dan kemas, tangan segera mencari penterjemahan.
Allahuakhbar.
Sungguh tuhan memahami setiap isi hati hamba - hambaNya. Benarnya, dunia ini dijadikan suka dan duka. Ada masa kita diberikan berita gembira, ada masa berita celaka kita terima. Jika bukan berita kita sendiri, berita dari orang lain pula. Biarpun apa jua situasinya, semuanya saling berkaitan dimana suka dan duka itu keduanya ujian dari Allah S.W.T. Bezanya, iman kita terhadap sesuatu perkara yang berlaku dihadapan mata kita. Redhakah kita dengan pemberian serta dugaan dari illahi ? Sejauh mana pula konsep tawakal kita hidup di atas muka Bumi ini ? Kalau benar iman membenarkan segala - galanya, usir buanglah segala resah yang menyelubungi hati kecil kita kerna tuhan maha mengetahui. Tuhan lebih mengetahui.
Lagipun ;
Kalau seorang pekerja outstation sudah habis menjalankan tanggungjawabnya di sesuatu tempat, ke pejabat jua dia kembali bagi melapor segala kertas kerja di hadapan big boss. Begitu juga kita, manusia. Tugas arwah di atas muka Bumi ini sudah selesai, kepada Allah jua dia kembali, menanti hari perhitungan pula. Dan kita, yang masih bernafas ini, juga bakal mengikuti perjalanan di alam Barzakh. Semoga tiba saat itu, segala amalan kita diterima Allah, segala silap dan salah kita kita pohon pada setiap orang, hutang piutang kita langsaikan. Biar saat itu, hanya antara diri kerdil ini dengan Sang Pencipta sahaja.
" Setiap yang hidup pasti akan merasai mati "
(Surah Al-Anbiya': 35)
Terima kasih untuk segala - galanya sahabat Syahmi Zakaria (1993-2012), Batch ke-7 Patriots, SM Sains Alam Shah KL ( ASiS ). Semoga rohmu dicucuri rahmat, semoga pemergianmu pemergian yang diredhai.
Al - Fatihah.
P/s : Belajar di Kedah. Bawa motor. Lori. Bakal dikebumikan di tanah Putrajaya sebentar lagi. Kita pula dimana ya ?
No comments:
Post a Comment