Saturday, June 28, 2014

Ahmad dan John Putih



السلام عليكم و رحمة الله و بركات



Burung terbang melayang riang bersama teman. Burung-burung itu sedar matahari makin meninggi, namun kabur kabur kelihatan bulat terang di angkasa bila jerebu melanda ibu kota ini. Bahang panas makin bertambah, kadar kualiti kesihatan kini bertukar warna. Namun sedemikian, kereta masih tidak putus putus memasuki kota tersebut mencari rezeki. Sejak dari pagi tadi sehinggalah sekarang ini, pencemaran bunyi dari kenderaan telah mendominasi sehingga tenggelam sudah bunyi alam yang tenang malamnya tadi. 



Baru bahang dunia, belum api neraka.
Sumber : Google


Tidak terkecuali sama Ahmad, yang baru sahaja tiba di salah sebuah kawasan private dengan kawalan ketat. Selesai berurusan dengan pihak berkuasa, kereta kecilnya perlahan lahan menyusur di jalanan, mencari salah sebuah rumah client nya. Terkadang dia tergamam, biarpun latar belakangnya adalah seorang jurutera elektrik dan elektronik, namun dia betul betul kagum akan seni bina setiap rumah yang dilaluinya itu. Besar atau kecil, tinggi atau rendah, semuanya punyai nilai nilai arkitek yang unik termasuklah kekemasan yang dilakukan pada rumah tersebut. Berapalah agaknya kos semua ini yea ? Kereta – kereta mewah yang jarang dijumpai pun, boleh jadi common di sini. Ada rumah, sampai empat kereta jenis exotic, terbuka tanpa berpagar pun ruang garajnya. Tidak mustahil, harga rumah melebihi semua itu, kan ?


“ I’ve seen more, bigger, better than these.
And what I could say, houses around here are moderate”


ringkas komen supervisor disebelahinya. Ahmad angguk sahaja dungu.



*      *      *      *

Keringatnya mula menitik laju membasahi Bumi terasa seolah – olah sedang mandi. Satu badan terasa basah, tangan rasa makin kasar dan berdebu dan kasut pula, ya kasut, perkara paling dia rasa terharu. Habis rosak kasut kulitnya akibat ‘bermain’ di kawasan pembinaan sebegini rupa. Mata liar mencari tempat duduk sempurna dalam rumah yang sedang dibina. Mana Ahmad sangka lokasi on-site nya kali ini adalah sebuah rumah yang sedang bina. Mana Ahmad sangka, kerja konsultan pun terlibat sama dalam pembinaan sesebuah bangunan. Selama ini disangkanya sekadar Q&A serta kertas kerja dalam pejabat berhawa dingin dengan air limau ais terhidang atas meja. Haih, hela nafas dalam dilepaskan sehingga bergema bunyinya melantun kuat kembali ke telinganya semula.Eh, apa kau rumah pun mahu merungut juga ?, jenakanya seorang diri sambil tersenyum. Gila.

TIADA. Rasa hampa, duduk termenung di atas tangga berdebu tiada hadang. Silap langkah, boleh terjatuh empat tingkat ni. Beberapa butang baju dileraikan, tangan segera mengipas badan yang ternyata bermandi peluh. Terasa sunyi rumah ini bila tiba waktu makan tengah hari. Heh, asal makan, punctual betul. Kalau tadi rumah ini bising dengan bermacam bunyi, agaknya sekarang cengkerik berbunyi di tingkat bawah tanah pun boleh kedengaran dari sini. Bagus juga buruh tiada pun, dapat juga Ahmad bersendiri. Dada naik turun menenangkan diri sambil merenung ke luar jendela, cuba mencari birunya langit. Atau paling kurang, gumpalan awan gebu disebalik jerebu. Hampa sekali lagi. Apa yang boleh dibuat, cuma istighfar berkali-kali diselang selikan selawat kepada baginda terchenta Nabi Muhammad SAW. Kebaikan beristighfar tertulis dimana;


Mintalah ampunan Rabb kalian karena sesungguhnya Dia Maha Pengampun.
Nescaya Dia akan mengirimkan dari langit hujan yang deras kepada kalian,
mengurniakan kepada kalian limpahan harta dan anak-anak,
menjadikan untuk kalian kebun-kebun dan menjadikan untuk kalian sungai-sungai.”

Surah Nuh, 10-12


Semoga Allah kasih ni hambaNya seorang ini.
Semoga Allah limpahkan rezeki yang mendekatkan aku kepadaNya.
Amin.



“Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), 
melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu”

HR Abu Daud dan Ahmad


Apa rasa bila ketua beri penghormatan kepada kita ? Seronok ? Gembira ? Suka hati ? Nah dikau Ahmad, ini penghormatan direct daripada Allah SWT bagi setiap kali kau berselawat, Allah mengembalikan roh baginda buat menjawab salammu itu. Mudah mudahan, basahnya lidah dengan berzikir berselawat, dapat menambah rasa kasih dan sayang kepada Allah dan Rasulullah. Bertambah pula rasa cinta untuk buat kebaikan tanpa mengharapkan apa apa balasan melainkan rahmat dan redha daripadaNya selain rasa rindu buat bertemu baginda. Moga bertambah rajin hadirkan diri ke syurga syurga dunia walau dikutipnya secebis ilmu setiap satu. Paling penting, moga Allah biarkan hambaNya ini memegang kemas hidayah dalam persiapkan diri bertemu denganNya, dan senantiasa memohon agar tidak ditarik ia semula untuk turut sama tergolong dalam kalangan orang – orang yang rugi. Nauzubillahastaghfirullah

Sedang merenung jauh, hidungnya terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. Bau tersebut memang tidak asing baginya, hairan sampai disini pun mengekori aku ? “Siapa pula yang hisap rokok ni ?, bersuara hati kecilnya. Pantang si Ahmad bila sedang bersenang senang, ada gangguan luar. “Aku nak rehat pun tak boleh ke ?”, getusnya geram. Hairan dirinya tertanya, mana datang asap rokok semua ni ? Mata sekali lagi meliar mencari punca benak hati cuma kali ini bukan tempat duduk yang dicari, tetapi mana datangnya asap rokok tersebut. Sedang mencari, matanya tertancap pada seorang pemuda yang berada beberapa anak tangga atasnya, galak menghembus asap rokok, dicubanya buat bulat bulat asap tersebut seperti dalam filem koboi.



Entah apa yang dibanggkan jika mampu buat begini ?
Sumber : Google 


Tertanya jua Ahmad, apa hujah kau pegang saat kau merokok ? Dirinya punyai prinsip, sebelum melakukan sesuatu perkara baharu, beberapa soalan dalam minda perlu dijawab terlebih dahulu sebelum dia melakukannya. Sebelum dia menjadi contoh buat ikutan orang lain. Soalan paling asas, halal atau haram ? Kalau halal, amalkan. Kalau haram, tinggalkan. Cuma terkadang dalam pertimbangannya, perlu jua dia bersandar pada dalil kerna sesuatu perkara itu bukan benda biasa yang telah jelas halal atau haramnya. Boleh jadi perkara tersebut makruh, sunat mahupun syubhah. Jauh disudut hati Ahmad, apa yang mahu dilakukannya cuma perkara halal dan sunat sahaja. Kerana dia cemburu. Cemburu pada para sahabat Rasulullah SAW yang mampu meninggalkan perkara haram, makruh termasuklah jua perkara syubhah. Kerana dia mahu jadi orang yang bertaqwa seperti mereka, yang hanya memilih perkara yang halal dan sunat sahaja. Tiada jalan tengah apatah lagi jalan yang ternyata maksiat. Dan buat mengenali hukum sesuatu perkara, perlulah punyai ilmu dan ternyata ilmu Ahmad sedikit cuma. Senantiasa dirinya terasa kerdil kerna itu. Diam diam Ahmad berdoa kecil saat itu, agar Allah senantiasa memberikan ruang dan peluang untuk dirinya perbaiki diri. Dalam lamunan si Ahmad, sedar tidak sedar dia sebenarnya sedang lama memerhati, sehingga pemuda tersebut sedar perilakunya diperhatikan seorang jurutera muda di hadapannya. 


"Nah, amek sebatang", 


katanya bersahaja. Geli hati Ahmad bersisa geram bila kotak rokok yang dihulurkan adalah jenama John, kotak rokok John Putih to be precise. Mana tidaknya rasa lucu bila fikirannya terus melayang teringatkan beberapa buah restoran mamak di kampung halamannya, takut takut jual rokok jenama John, disebabkan rokok tersebut jenis rokok seludup ! Sebab itu harganya cuma, RM4 sekotak. Ada orang suka lagi John Biru. Biar apa pun, John ini 'lejen' dalam kalangan pemuda pemudi yang mencari rokok 'bajet', termasuklah pelajar sekolah ! Ahmad tersenyum, jari telunjuk diangkat dan digerakkan kiri dan kanan. Seolah orang bisu sedang berbicara "tidak mengapalah". Atau boleh jadi "taknak, John tak sedap", atau "bukan sekarang" ?


"Tak main eh rokok ?" tanyanya dengan kening sebelah terangkat ala The Rock bernada kehairanan, namun tangan kembali menemukan rokok dan mulutnya. Ditariknya perlahan lahan, ditahan beberapa saat dalam dada sebelum kembali membuat pencemaran udara. Maka bertambah komposisi gas beracun dalam udara, meningkatkan kos kematian kepada orang sekeliling pun dikira sekali. Haih. Ahmad mengeluh ralat berjumpa orang sebegini. Reaksi Ahmad bersahaja, sekadar menggelengkan kepala, memberi maksud sebenar, "Saya tidak merokok". Namun Ahmad masih di situ, cuba menajamkan telinga buat menangkap suara yang terkadang tenggelam dek bunyi bising pembinaan. Kerna Ahmad tahu, reaksi tubuh badan pemuda tersebut seperti ingin berbicara dengannya lagi. Kata orang tua, belajar dengan mendengar, mengajar dengan bercakap. Betul ke?  Apa pengajaran yang boleh dikutip daripadanya ?


“Aku tengok ramai budak sekolah kecik kecik lagi dah isap rokok. Ada tinggi separuh badan aku pun dah berani. 
Betul kau tak merokok ni ?”


Tanyanya sekali lagi sambil dimainkan rokok hidup dihujung jari, membuang abu rokok. Gayanya masih 'layan' asap rokok yang disedutnya sebentar tadi. Ahmad sama sahaja seperti tadi, tersenyum tanpa membalas sepatah kata. Dia lebih suka mendengar daripada berbicara.



Baguslah kau. Mesti kau keturunan baik ni. 
Keturunan baik, anak anak dia pun baik lah jadinya.”


Senyuman Ahmad kali ini nampak seri bila telinganya menangkap bunyi orang sedang memuji. Namun cepat cepat dia istighfar beberapa kali sebelum disebutnya alhamdulillah. Lantas tangan kanannya diletakkan di dada, sambil berdoa  akan doa yang pernah dimunjatkan oleh Imam Hanafi, “Ya Allah, jadikan lah aku lebih baik daripada apa yang dia sangkakan”

Ingin sahaja Ahmad bersuara ketika itu, kenyataan tersebut tidak boleh dipakai langsung. Baik dari dulu, mahupun sekarang. Imbas kembali sejarah baginda sendiri, walaupun ibu Nabi Muhammad SAW adalah kafir, namun dari perut ibu itulah lahir seorang insan yang beragama Islam, malah diangkat darjat menjadi kekasih Allah pula. Kisah Nabi Nuh ? Baginda seorang yang beriman, sedang anak dan isterinya sendiri tidak mahu menerima ajaran Islam. Bahkan, dihina pula Nabi Nuh dikatakan gila membina bahtera di atas bukit. Dari dua kisah di atas, sedarlah bahawa ibu bapa kafir tidak menjamin anaknya juga kafir. Begitu juga bilamana ibu bapa Islam masih tidak dapat menjamin anaknya juga Islam. Bak susunan lirik dalam lagu Iman Mutiara;


Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual beli
Ia tiada di tepian pantai

Walau apapun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau merentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah



Jadi, konflik sebenar yang terjadi dalam rata-rata individu adalah jati diri itu sendiri. Bukankah sudah tertulis dalam Al-Quran;


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum 
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
 Surah Ar-Rad ayat 11



Allah tidak akan mengubah kita selagi kita yang tidak mahu berubah, dan Allah tidak terkesan walau sedikitpun daripada itu. Oleh sebab itu, perlu perkasakan diri dan berpegang teguh pada prinsip yang berlandas pada ajaran Islam supaya apabila dicampak atau tercampak ke lembah maksiat sekalipun, iman sedikit pun tidak goyah. Sama juga dengan merokok. Kalau kawan merokok, perlu ke kita ikut sama ? Kalau kawan ajak hisap rokok, bukan kita yang mengawal mulut untuk mengatakan ‘ya’ ataupun ‘tidak’Tambahan pula rata-rata ulama utama di dunia memberikan fatwa merokok itu adalah haram, termasuk juga fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Bukan perkara haram awal - awal lagi perlu kita tolak tepi ? 


Bila ustaz berbicara
Sumber :Google


Jauh lagi cita cita pada tangga ke-7, jika tangga pertama pun kita masih merangkak. Sabar, usaha dan usah berputus asa. Nafas Ahmad ditarik dalam, dilepasnya kuat - kuat sehingga tersentak pemuda tersebut. Mahu sahaja dia mengatakan ayat meminta maaf, namun tiada sepatah kata yang terpacul dari mulutnya. Yang timbul adalah suasana janggal antara mereka berdua bila lama mata mereka bertembung dengan diam seribu bahasa sebelum masing - masing kembali meneruskan kerja mereka. Bukan apa, saat itu Ahmad rasa 'lemah' sangat. Lemah kerana tidak mampu memberikan nasihat, lemah kerana tidak terkata akan apa yang bermain dalam minda, lemah kerana tidak mampu berdakwah ! Dia melihat maksiat berlaku dihadapan mata, tapi dia lemah untuk menghalang menggunakan lidah dan tangan sedang hatinya sudah lama bersabar akan maksiat tersebut. Yang tinggal sekadar bersangka baik sesama insan. Boleh jadi pemuda tersebut jahil, tidak mengetahui menghisap rokok itu adalah haram. Boleh jadi pemuda tersebut baru pertama kali menghisap rokok, siapa tahu ?


“Jauhilah kamu dari prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu 
adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati)”

HR Al-Bukhari-Muslim


*      *      *      *


Laju jari jemari menekan butang butang kalkulator ms-750 apabila sudah mendapat tahu nilai ukuran sebenar jarak dari pintu utama ke tangga dan juga tinggi di mana sensor yang akan diletakkan. Senyum ditarik selebar mungkin. Suka betul Ahmad kerja sebagai konsultan, tidaklah seberat kerja kerja buruh disini, angkat barang berat berat dari tadi lagi. Alhamdulillah. Dan heh, siapa kata matematik tidak digunakan dalam kehidupan sebenar apabila Ahmad baru sahaja menerima ukuran teori hipotenus ? Dalam tersenyum dirinya sendiri, teringat kembali situasi beberapa jam lepas. Sekali lagi Ahmad mengeluh sendiri. 

" Ya Allah, kurniakan hidayah kepadaku dan kepadanya, 
agar terbuka hijab untuk kupunyai kekuatan memberi nasihat kepadanya,
agar terbuka pintu hati pemuda tersebut untuk menerima nasihatku kepadanya."



Amin, ya Rabb.
Kepadamu kumerintih,
kepadamu kuberdoa,
kepadamu kubergantung harap.


P/s : Jangan pernah anggap bila orang lain melakukan dosa, beerti kita lebih baik daripadanya. Itu syirik, dan Allah murka buat sesiapa yang melakukan syirik.

4 comments:

  1. Nice one ! Boleh tulis novel islamik ah cenggini.

    ReplyDelete
  2. Moga jadi penulis novel yang hebat hebat satu hari nanti Ada gaya penulis novelis ' Cintaku luruh di Oxford ; Noor Suraya & Imaen .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Doa doakan !

      Best ke novel tu ? ke so-so je ?

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...