Saturday, July 5, 2014

Atuk II






السلام عليكم و رحمة الله و بركات


sambungan dari entry 2 tahun lepas; 







Bangun semua
Bingkas segera
Usah berlengah
Lupakan lelah
Majulah


Berseluar slack khaki, lengkap dengan baju melayu merah. Rambut disisir rapi sebelum mengenakan kopiah hitam pemberian abah suatu masa dahulu. Tersenyum aku di hadapan cermin. Segala pujian bagi Allah yang memberikan hamba ini rupa. Dalam memerhatikan apa yang belum sempurna, aku terlupa sesuatu rupanya. Butang baju melayu. Cepat D-SIM cepat cari. Nanti, kalau melepas solat sunat rawatib, rugi ! Solat sunat rawatib ini hebatnya sehingga ada qada' bagi solat tersebut. Hujah ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Daud :


 "Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. terlihat seorang lelaki menunaikan solat dua rakaat selepas solat subuh. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata kepada lelaki itu; "Solat subuh hanya dua rakaat sahaja (mengapa kamu menambah lagi dua rakaat)." Jawab sahabat tersebut, "Saya belum menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum subuh." Maka baginda Rasulullah s.a.w. apabila mendengar jawapan itu berdiam (tanda setuju)." 



Suara azan
Di langit tinggi
Mengagungkan Mu
Puji juga memuja
Allahuakbar



Kata - kata abah tadi benar benar membuatkanku tersentak. Atuk pun ingin turut serta solat subuh sama ? Allahuakbar. Sungguh aku kagum padamu orang tua. Biarpun masa muda dan sihatmu telah lama pergi, namun itu semua tidak mematahkan semangatmu untuk bersama - sama menyahut seruan muazin di masjid sana. Ya Allah, rahmatilah atuk aku ini ! Kunci kereta kucapai, menyiapkan apa yang patut dalam kereta. Maklumlah, kereta orang bujang. Bukannya kemas sangat. Kerusi sebelah pemandu pun perlu dianjak ke belakang sedikit, agar dapat memberikan keselesaan kepada atuk. Baru mengorak langkah satu dua keluar mendapatkan kereta, langkahku terhenti dalam membalas panggilan abah dari dalam rumah. 

"Mimi pimpin atuk. Biar abah yang dapatkan kereta.", lembut sahaja bunyi arahan abah sebelum mengambil sendiri kunci dari tanganku. Lama aku perhatikan abah sebelum menghilang dalam gelap. Memang aku parkir kereta di kawasan gelap pun semalam. Apa yang membuatkan aku terdiam tika ini, cuma dua perkara. Pertama, biasanya aku si tukang driver. Kalau shopping dari pagi sampai lewat malam sekalipun, kaki ini haa yang letih memandu sedang kaki mereka letih melawat satu satu kedai yang ada. Kalau tempuh beratus kilometer, berjam lamanya pun pemanduan, aku yang tukang bawa, yang lain tukang lena. Hairan. Kedua, biasanya abahlah yang akan pimpin atuk. Pergi kenduri, melawat sana sini, menziarahi saudara mara, ke hospital mendapatkan rawatan berkala sekalipun, abah yang pimpin. Kalau bukan abah, emak. Hairan. Kali ini aku yang kena pimpin ? Jujur aku tak pernah pimpin atuk. Jujur aku tak pernah pimpin siapa - siapa pun dalam hidup aku. Yang muda, apatah lagi yang tua. Mungkin, abah ingin mengajarkan aku erti kehidupan, melalui cara ini ? Rabbi Yassir wala Tua'ssir. Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah kau susahkan. 

Kini tugas bertukar tangan. Langkahku ikut beralih arah dalam mendapatkan atuk pula. Kelihatan cahaya jingga singgah ke muka berusia itu. Atuk menjenguk - jenguk keluar bagai mencari sesuatu. Apakah ? Tangan kanannya berpaut erat pada struktur bangunan, risau jatuh mungkin ? Tenaga orang tua, bukan macam orang muda. Berjalan pun perlukan sokongan. Rupanya, atuk mencapai tongkat berwarna emas yang disangkut pada jendela bergril besi. Oh, baru teringat ! Tongkat itu pemberian mak aku buat aku gunakan masa naik haji beberapa tahun lepas. Biarpun sudah bertahun - tahun berlalu, baik - baik sahaja keadaan tongkat itu. Pandai atuk jaga pemberian orang. 

Pagi ini terasa hati senang sekali, bila dijemput Allah buat mengimarahkan solat subuh di masjid kecil kampung ini. Belum campur udara segar di pagi hari, termasuk jua sejuk suasana kampung ! Masing masing kulihat tersusun senyuman indah tatkala melihat atuk yang kupimpim dari tadi. Siapa tidak suka kalau 'orang lejen' solat bersama ? 



“Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh 
(iaitu mengerjakannya).”


(Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)



Sebenarnya dalam kepala sedang berkira – kira, mana tempat atuk hendak solat ? Terhenti seketika segala pergerakan otot kami berdua, kepala pula ligat berfikir. “Eh, tu tu ambil kerusi tu letak di hadapan”, ada dalam dua tiga orang sebut ayat yang lebih kurang sama, pada nada hampir serentak. Seronoknya rasa bila ada orang sudi beri nasihat, bahkan ada pula seseorang tolong ambilkan kerusi tersebut, dibawa ke saf hadapan sekali. Allahuakhbar, sungguh jika hajatkan sesuatu niat yang baik, pasti diberi pertolongan dari yang Maha Kuasa, terkadang tanpa diduga !








" Hah  Atuk apa ? "




Kenyataan memang pahit untuk ditelan bukan ? 

Kata mak, atuk dah nazak ? Allahuakbar. Bergegas aku bersiap diri dan segera meninggalkan Bumi Ipoh malam ini juga. Terkejar - kejar aku ke Hospital Kuala Kangsar. Nazak, kondisi yang paling cemas kalau dalam babak drama di mana - mana filem sekalipun. Kebiasaannya dalam beberapa minit, mati datang menjemput pelakon yang nazak itu. Nauzubillah. Aku, belum sedia menerima sebarang pemergian ahli keluargaku. Rindu kepada arwah Pak De pun masih belum terubat, mahu tambah pula lagi seorang dalam hidup aku ? Ya Allah, janganlah kau biarkan ia berlaku buat masa ini. Bukan saat dan detik ini mahupun pada hari - hari yang mendatang. Andai tiba jua saat itu, tibalah waktu aku berzikir kepadaMu. Ringankan beban hambaMu ini ya Rabb.


Selesai subuh, aku terdiam. Renungan dilemparkan kosong dan sepi. Seisi rumah kayu ini yang tampak suram sunyi tanpa kelibat atuk. Atuk 'bermalam' sebentar di Kuala Kangsar malam tadi sebelum mendapatkan rawatan selanjutnya di Taiping pula tengah hari nanti. Menghela nafas dalam, norma kehidupan. Ada masa kita sihat, ada masa kita sakit. Bersyukurlah kita sihat hampir sepanjang tahun, kenapa perlu mengeluh dengan sakit dua tiga hari ? Kubuang pandangan ke arah satu sudut. Terdapat sebuah kerusi, dan kerusi itu selalu dibuat solat oleh atuk aku. Itulah yang paling dia mampu selain solat dalam keadaan berbaring. Terdetik difikiran, andai tiba saat aku, apakah dayaku cuma sekadar di atas kerusi ?

Atau. . aku tetap gagah menapak menyambut seruan azan ? Nafas ditarik dalam, mengeluh. Hidup mati esok aku pun belum tentu, kenapa tidak aku 'hidupkan' hari ini ? Melangkah perlahan ke kerusi tersebut, duduk kemas aku menyesuaikan diri. Aku tersenyum bersendirian. . .


" Atuk, cucu manja atuk sedekahkan mathurat dengan Yasin ni. 
Semoga cepat sembuh yea?"




Kumulakan dengan Bismillah,

serta harapan besar dihati.
Berdoa aku kepada Ilahi,
Kerana hanya Allah yang lebih mengetahui.



Usai sahaja solat subuh berjemaah, aku memandu menuju pulang ke rumah, dengan Ayah Cik di sebelah, Pakcik Rahim bersandar di belakang kereta. Kami perlu pulang segera. Segala benda perlu dibuat dalam kadar segera. Tak menang tangan dari semalam lagi, cuba sedaya upaya membantu abah serta pakcik dan makcik aku. Aku pun, nak berbakti buat kali terakhir. Lagipun, sunnah mempercepat pengebumian seseorang.


“Ayah Cik menitis air mata tadi. Bukan apa, 
biasanya waktu – waktu pagi begini 
atuk kamu sedang minum air kopi O’ dirumah”




Tersentak. Betullah, atuk suka kopi O’ dan memang waktu begini waktu dia segar bersama kopinya. Aku pun ‘liar’ diwaktu ini. Atuk dengan kopi, aku dengan teh. Kombinasi atuk cucu kini sudah tiada lagi. Tambah Ayah Cik, rupanya waktu aku sekeluarga datang bertandang berbuka puasa itu merupakan hari terakhir dia sihat sebelum jatuh sakit. Sayu, rasa sebak di dada. Ya Allah, sempat juga aku sekeluarga menggembirakan dia ! Arwah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar, Hospital Taiping, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang dalam 10 minit sebelum azan asar berkumandang pada 15 September 2012. Sempat juga atuk yang sakit itu berpuasa penuh tahun ini. Semoga roh atuk dicucuri rahmatNya, segala amalan diterima, segala dosa dihapuskan, kubur dilapangkan serta diterangi dengan pancaran iman. Semoga atuk ditempatkan di tempat yang mulia, bersama - sama orang yang terpuji.


Amin.
Al-Fatihah.



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...