السلام عليكم و رحمة الله و بركات
Perlahan berlari mengejar masa, ini salah satu rutin harianku dalam menjalani kehidupan selaku pengguna pengangkutan awam tegar dalam menuju tempat kerja. Belum tentu engkau bangun awal, tiba di destinasi seawal yang engkau sangkakan. Apatah lagi bila engkau pilih untuk melengahkan waktu sedia ada, pasti celaka pada waktu akan menimpa. Macam aku tadi pagi hari, keluar awal rumah seperti kebiasaan hari akhirnya tiba lambat di KTM Kajang, membuatkan aku terlepas beberapa kereta api yang sepatutnya dek beberapa jalan ke sana ditutup atas faktor keselamatan pembinaan jalan raya. Aku pantas mencongak dalam kepala, sudah pasti aku terlepas dua kereta api dan yang mustahil cuma pada jam 0748.
Ah, lambat ke office tanpa sebab munasabah!
Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat (amanah), apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran - HR Ahmad
Nauzubillah.
"Semoga Allah gantikan musibah sedia ada ini
dengan sesuatu yang lebih baik."
Itu doa Ummu Salamah (link) yang sering aku titipkan dalam jiwa, saat timpa musibah yang langsung tidak kujangka. Makin lama aku berjalan atas dunia ini, makin kukenal erti tawakal kepada Allah, seiring dengan umur yang bertambah. Belum tentu rezeki sebutir nasi yang berada di tangan sebagai apa yang akan aku hadamkan, belum tentu jua perancangan rapi aku rencana berhasil tanpa izin-Nya jua. Lantas mata hati mula terbuka, satu demi satu akan permainan dunia yang gila, menyedarkan aku akan beberapa perihal yang terkait, boleh jadi aku terleka atau lalai dengan sentuhan nafsu dunia. Contoh mudah, kenapa perlu marah - marah dalam kesesakan lalu lintas tanpa aku duga sehingga mampu merendahkan tahap kesabaran diri? Whats with the whines when you see a sea of crowds at the train station? Logiknya mudah, engkau menjangkakan tiba di sekian sekian tempat dengan mudah tanpa musibah. Bila apa yang engkau alami berlawanan dengan jangkaan (expectation) engkau, mula nilai diri bagai dipertaruhkan di medan ujian. Pelbagai emosi boleh terjadi dari sebatang tubuh ini, marah, sedih, gembira, tenang, ragu ragu pada ketentuan tuhan. Bukankah emosi lebih stabil, tenang bila awal awal perancangan sudah di niatkan tawakal kepada Allah?
Bila ditempat dikerumi orang ramai sebegini, selalu terfikir fikir idea bagaimana nak
memperbaiki sistem keretapi sedia ada, juga cara perjalanan pengguna pengangkutan
awam untuk meningkatkan kualiti masa yang lebih effisien dan efektif.
Dah macam hari hari hari raya, we must do something about it, right?
Maka, sedang aku mencari alternatif buat mengisi masa yang sedia ada, teringat sebuah tanggungjawab pada isi hati yang masih belum terlaksana, hari ini. Tangan pantas meraba isi poket seluar slack berwarna hitam, hah, dapat! Perlahan - lahan aku keluarkan telefon bimbit berwarna putih berjenama HTC. Rasanya sudah tiga tahun aku bersamanya, ke empat tahun sudah? Sampai screen retak seribu pun masih kupakai jua, sebab setakat ini yang rosak luaran sahaja bukan isinya. Sayang pula. Butang standby kutekan, paparan utama keluar dengan beberapa aplikasi sebagai sajian mata, halwa dan jiwa. Ah, mudahnya teknologi kini! Mata meliar mencari tempat yang sesuai untuk aku bersendirian buat seketika cuma. Kiri kanan mata meliar, sesaknya hari ini. Berduyun duyun manusia memenuhi platform KTM Kajang dengan destinasi masing masing. Biasanya, tempat yang utama dituju adalah Stesen Sentral Kuala Lumpur. Sedang mata meliar, mata aku tertancap pada sebuah sosok tubuh yang pernah aku lihat sebelum ini. Kelihatan dia sudah lama memerhatikan aku dari jauh, beribu ribu wajah muka dalam kepala sedang mengimbas kembali siapakah dia disitu.
"Lah Apek rupanya!"
Separa jerit aku disitu disambut senyuman lebar dari Apek, atau nama penuhnya Afiq Sazlan. Tak ingat bila kali terakhir aku bersembang atau berjumpa dengannya. Raya entah tahun bila, boleh jadi waktu menghantar Haziq mula mula fly ke Jakarta sambung belajar medik di sana. Biasanya ada contact dengan mak dia, kali terakhir terserempak waktu aku di Uptown Serdang (sekarang dah tutup pun). Malam hari, lalui lorong gelap pula tiba tiba melintas sebuah kereta di sisi aku. Aku kenal kereta itu, dan aku dapati pemandunya sama, si Apek yang aku kenal. Aku tunggu buat seketika melihat dia seperti di posisi memarkir kereta, dicubanya berkali - kali, tahu tahu sahaja dia memandu pergi sehingga hilang dari padangan.
Okay Apek, lain hari, lain waktu -_-
Maka berlakulah perbualan sepanjang kami berada dalam perjalanan bersama KTMB. Cerita perihal diri masing masing, kisah lampau sewaktu di bangku sekolah termasuklah soal keluarga dan kerjaya. Katanya dia sudah bersama Imanshoppe, full time. Makin rancak aku kira bila kemahuan diri bergabung dengan tetapan dari syarikat, seolah olah berdiri dihadapan mata sebuah platform mencungkil lagi bakat diri dan potensi. Sempat juga kepala aku pusing memikirkan soal yang sama, betulkah aku di platform yang betul? Cuma ada antara isi perbualan yang buatkan aku terfikir seketika;
AS: "Aku selalu je terjumpa blog kau. Kalau search je selalu jumpa."
Q : "Eh jumpa? Rasanya aku dah lama tak menulis."
AS: "Ha'a sebab antara top rated search kan. Tetap ada keluar."
Terdiam seketika, tersenyum kelat. Dah lama sebenarnya tidak menulis, tidak sebanyak dahulu pun. Bahkan, belum tentu apa yang aku tulis kini berkualiti dari apa yang mampu aku nukilan terdahulu. Apakah masa mencemburi aku? Atau alasan kini bekerja membuatkan aku terlupa medium utama aku ini? Malas pun iya, dalam draft pun masih tersimpan entries dengan pelbagai tujuan yang mahu aku sampaikan. Terkadang takut juga, bila pelbagai ilmu aku pelajari biarpun dalam tempoh singkat dari zaman uni ke waktu bekerja kini, sedikit sekali kisah realiti, hal hal aku perihati dan alami serta ilmu yang dipelajari aku berkongsi sama di sini. Sehinggakan dahulu sanggup pelajari sesuatu yang baharu demi mencari topik untuk aku ketengahkan bahkan dibahaskan sama di sini. Ah, mana pergi nafsu menulis aku yang dahulu!
Kena mula belajar membahagikan masa, tak mahu tertipu dengan dunia, bila bangun dari tidur untuk kerja sahaja pulangnya untuk tidur supaya bertenaga bekerja hari esoknya pula. Bekerja itu bagus, bahkan dikira jihad berdasarkan niat serta ketelitian hasil kerja, namun terdapat dua per tiga lagi masa bersisa setiap hari. Time management, mungkin ini yang perlu aku analisa semula. Lagipun, rugi tersangat sangat dibiar terkubur semangat menulis. Teringat pesanan lama dahulu;
"Kalau tulis benda baik, mati sekalipun orang cari, tahu?"
Like
Pertemuan singkat, tapi bermanfaat.
Alhamdulillah.
P/s: Dalam masa yang sama. . .
No comments:
Post a Comment