السلام عليكم و رحمة الله و بركات
Terkebil - kebil mata menahan rasa mengantuk dalam mencari fipper hadapan mata. Rata rata kaum muslimim bersubuh di sini memilih untuk meninggalkan masjid usai sahaja solat subuh, termasuk juga aku. Iktikaf? Mungkin masing masing sibuk dengan urusan rumah tangga, iyalah, raya bakal menjelma tidak lama lagi. Aku kira, jika benar 30 Ramadan tahun ini, seluruh Muslim di tanah Malaysia ini akan menyambut syawal pada lusa, 3 hari je lagi!
Badan lentok bersandar pada kereta buatan Jepun sambil memandang pada banjaran Titiwangsa. Cantik. Muka masjid ini berhadapan banjaran Titiwangsa, atau sudut pemikiran berbeza, masjid ini menghadap terbit mulanya mentari menyirami bumi Ipoh. Leka aku menghayati pemandangan tersebut dalam menunggu abah. Ada kata ulama, andai terbit matahari sebulat tersembul cantik tanpa ada menghalanginya, maka malam sebelumnya adalah malam lailatulqadr. Apa benar malam tadi malam istimewa ? Entahlahh, yang penting bagi aku amalnya. Teringat pesanan PU sewaktu menyampaikan ceramah di Masjid 'Bukit' di Kulim, usah kita tinggalkan isya dan subuh berjemaah, kerna terdapat hadis yang menyampaikan bahawa andai seorang muslim tidak meninggalkan keduanya, maka dia telah menghidupkan seluruh malam beribadah kepada Allah! Sambungnya lagi, sudah tentu dapat mengejar malam lailatulqadr jika kita berbuat demikian! Aku tersenyum, kerna benar apa yang disampaikan cuma bukan bermaksudnya juga kita abaikan amalan di tengah malam secara sendiri sendiri. Islam itu mudah & permudahkan, namun sebagai muslim, kita diajar 'ínfiru' bahkan dalam Quran ditulis, berlumba - lumba mengejar kebaikan kepada Allah.
Ini lah jadinya jika mentafsir dalil bersendirian, salah erti apa itu infiru,
salah erti cara berlumba - lumba mengejar kebaikan.
Moga Allah lindungi kita daripada sebarang fitnah!
Pintu pemandu dibuka perlahan, sambil abah merungut sendirian. Aik, dah kenapa pepagi ni?
"Tengok orang disekeliling kita, (hampir) semua balik lepas subuh. Patutnya buat lah ceramah lepas subuh,
ada amal sikit bulan Ramadan ini."
Tampil abah dari sudut pemikiran yang berbeza. Betul juga, boleh jadi orang kurang berminat beriktikaf di masjid kerana imarah masjid sini kurang. Kurang sehingga kurang mendapat tempat di hati para penduduk di sini. Pernah lihat sebuah video viral dari Turki, di mana anak anak kecil bebas bermain di dalam masjid seolah olah tempat masjid itu diajar sebati dari mula lagi.
"Patutnya buatlah ceramah agama, kutipan masjid sini walaupun kampung, tapi berpuluh ribu juga. Macam masjid daerah Gerik, puluh ribu juga, tetapi setiap hari ada ceramah."
Jongket bahu sendiri, tak tahu apa alasan sebenar jika pihak masjid berbuat begini. Apa nak dihairakan sangat, hatta ceramah sebelum, di antara dan selepas terawih pun tidak diberi tahun ini! Ah, apa pula, bukan tugas aku juga menghukum!
"Kalau pasal politik, takkan lah sampai taknak buat ceramah. Di Gerik sana tu, ada juga geng Biru geng Hijau. Yang Biru duduk dinding sebelah sini, yang Hijau duduk dinding sebelah sana."
"Hah?! Betul ke abah?"
"Ha'a, tapi nasiblah. Kalau si penceramah Biru juga, kena lah bantai si Hijau. Kalau si Hijau beri ceramah, kena bantailah juga si Biru."
Aku gelak sendiri. Apa yang aku mengerti, abah cuba sampaikan bahawasanya, biarlah ada kontra agenda politik tetapi dalam agama kita tetap akidah yang sama, tiada lagi warna warni macam hari pilihanraya kecil di Kuala Kangsar tempoh hari. Common sense lah untuk ada aktiviti aktiviti kerohanian tanpa mengira siapa kita suka siapa kita benci, sokong sesama kita juga andai perkara yang dilakukan adalah atas dasar kebaikan (read : taqwa). Marah sangat kot abah aku, mungkin terkesan manisnya ceramah malam tadi yang dilakukan di surau biasa biasa, bukannya di masjid. Pokok isi buah majlis ilmu oleh Ustaz Ibrahim Satar, salah seorang mudir KotaRaja, di Meru utara Ipoh sana;
Hari raya seorang muslim bukan termaktub pada Syawal atau AidilAdha sahaja. Seorang muslim boleh berhari raya pada 5 tanda ini;
- Bila dia hidup seharian tanpa dosa.
- Bila dia mati sempat mengucap kalimah syahadah.
- Bila dia melepasi titian sirat menuju syurga.
- Bila dia melangkah ke dalam syurga.
- Bila dia melihat wajah Allah.
Setiap satu tanda di atas diberi hujah dari nas nas sahih oleh ustaz dan sumpah aku dah lupa imam akbar mana yang bawa tanda tanda tersebut, Imam Syafie atau Ghazali waallahualam. Aku belajar ilmu baharu pada point yang ke-3, baru tahu lama seorang muslim itu dalam melepasi titian sirat. Satu tahap mendaki, pada satu tahap mendatar, pada satu tahap lagi menurun. Sambung ustaz, sudahlah titian tersebut lebih halus daripada rambut, akan ada tangan tangan 'pengait' yang akan menggoda manusia supaya jatuh ke bawah titian sirat iaitu, neraka jahaman yang terdiri daripada 7 tingkat/tahap. Nauzubillah! Dan sungguh, siapa tidak mahu masuk ke dalam syurga dan melihat Allah? Ustaz tegaskan dalam kuliahnya, biarpun kita banyak dosa, kita juga kena bersangka baik dengan Allah. Caranya berharap agar dimasukkan ke dalam syurga untuk melihat Allah. Bila kita masuk syurga nanti, kita akan meminta sujud kepada Allah sebagai tanda syukur. Allah akan membalas, dalam syurga ini tiada sujud melainkan kita waktu di dunia dahulu sebagai tanda di syurga sebagai tempat berehat bersenang senang. Oleh sebab kita minta (iye, aku menggunakan ayat kita minta sebagai tanda aku dan kalian berharap masuk syurga juga, amin) pada Allah, Allah qalbukan dengan menyuruh semua penghuni syurga bersujud buat kali terakhir. Dikhabarkan, sujud tersebut lama, 40 tahun akhirat lamanya! Maka selepas itu, selepas mendapat segala nikmat Allah berikan, Allah sebut, mahukah engkau melihat rupaku? "Bahkan, ya Allah!", (terlupa ayat mana dalam Quran, asif). Maka Allah menampak kan wajahnya kepada kita, dalam Quran ayat diberi bukan melihat, tetapi meniliti (details) wajah Allah bagaimana. Allah, dalam kepala duk bayang ayat ayat akhir surah fav, surah Yassin, bersantai - santai bersama zaujah tersayang, diberi salam pula oleh pemberi nikmat.
Allah.
"Eh, ada ceramahlah.", ujar abah secara tiba - tiba dengan terus meninggalkan aku dalam kereta. Aik, pulak dah? Tadi keras betul nasihat, tiba tiba berlembut. Ah, baguslah macam ini, macam lalang, asalkan benda baik, kita sokong. Asalkan benda baik, kita tarik balik kata - kata, biar kebaikan & kemenangan tertegak biar asalnya kita sendiri ragu - ragu, marah sendiri. Masuk semula ke dalam masjid bersama baki baki ahli masjid qowiy, gituu. Dilihat di hadapan sana seorang penceramah muda, dari wajahnya. Belum pernah lihat mukanya di sini, boleh jadi sudah lama dia sampaikan ceramah di sini, cuma aku je tidak berkesempatan ikut kariah hometown Ipoh terchenta.
Kitab kecil digengam kemas padanya, aku kira dia baru memulakan pengajian di masjid ini dari berbandingan mata kasar pada helaian kertas yang diselak. Boleh jadi baru 10 bab? Menarik nas serta dalil diketengahkan, kupasan diketengahkan ustaz;
- Boleh ke solat sunat raya sendiri sendiri?
- Boleh, bahkan solat tersebut boleh dilakukan dari terbit matahari sehingga waktu zuhur tiba.
- Tapi, tiada dibenarkan khutbah raya. Tak ke gila khutbah raya sendiri sendiri? Haha
- Kenapa diperbolehkan bertahmid, bertahlil, bertakbir antara takbir solat sunat raya?
- Tiada doa khusus antara takbir. Bertahmid, bertahlil, bertakbir sudah membawa ganjaran besar disisi Allah (sebelumnya ada penguraian doa/lafaz yang mana Allah suka.)
PRESS THAT PLAY BUTTON!
Ustaz juga memberi kupasan sama berkenaan "Subhan Allahi wa bihamdihi, Subhan Allahil Azim." Aku tak ingat ayat/doa yang mana Allah suka sehinggakan baginda lebih suka menyebut ayat itu berbanding terbitnya matahari. Allah. Berbeza sungguh bulan Ramadan ini. Teringat video lecture Nouman Khan berkenaan Ramadan, katanya Rediscover Allah by every time you read the Quran. Katanya, Quran ini bukan seperti buku, sekali baca, khalas. Baginya, setiap kali dia membaca Quran, dia temui perkara baharu yang belum pernah jumpa sebelum ini. Guna pakai idea beliau, jadikan hidup kita ini belajar dan beramal tanpa henti. Tiada istilah rehat dengan berlepas tanggungjawab melainkan mati, insyaAllah.
Agak - agak kuliah dah nak habis, aku toleh ke arah abah aku disebelah.
Lah, tidur rupanya abah aku!
Hahahaha Masa dalam kereta cakap lain, bila tahu ada ceramah cakap lain, dalam kuliah tidur pula? Senyum aku sendiri, usik abah depan mak usai ceramah.
Aku dah pesan awal awal masa sahur, pil selesama abah ambil tu kuat penangan dia.
P/s : Rajin pulak menulis malam raya. Anyway, selamat hari raya semua! Minta maaf andai terkasar bahasa, terguris mana mana. Aku pun hamba biasa biasa, masih belajar menjadi sempurna seperti kalian sangkakan, bahkan aku sendiri mahu lebih baik daripada itu ;')
selamat hari raya !
ReplyDelete