Thursday, August 9, 2012

Bila kuzahirkan keadaan diri.

Rungsing. Kepala pusing, kiri dan kanan. Bahang Ipoh terasa, berpeluh aku dibuatnya. Belakang tangan menelekap dahi. Masih panas. Kedengaran surah surah bacaan tok imam mengetuai jemaah terawih ke udara. Dengan 5-6 pembesar suara canggih, mudah sahaja alunan kata-kata indah itu singgah ke telinga para penduduk di sini, termasuklah aku. 

Aku mula berkira, dah berapa hari aku tidak berterawih ? 3. . 4. . Allah. Banyaknya yang sudah aku tinggal. Sungguh aku cemburu orang beribadat, tapi apakan daya demam panas ini mencemburi aku terlebih dahulu ! Aku masih di atas katil, merenung siling seolah aku boleh melihat masa hadapan. Tidak. Aku melihat semula masa lalu. Demam aku mula pada Isnin lepas. Semakin teruk, pada Selasa esoknya. Apa aku buat sampai begini jadinya ? Aku kurang berfikir dek fikiran lapang, malah hati pula rasa seronok merantau di negeri orang, melihat keindahan Islam di tempat orang. Aku senantiasa ceria bila melihatkan Islam itu pada wajah muslim - muslim di sana. Bayangkan bila pergi ke suatu tempat bagai syurga, bila semua orangnya sebaya, dan lagi aku kagumi, bila ilmu dunia dan akhirat mereka jauh tingginya melanggit. Aku kagum. Aku kagum mereka berilmu, dan mengamalkannya. Aku kagum, biarpun berlainan usrah, pada hati mereka bersatu. Setelah berbulan - bulan, suatu pagi itu, mereka hampir membuatkan aku menetes air mata tatkala diajak membuat bulatan, sama - sama membaca al-mathurat di pagi hari indah itu. Dah lama tak baca secara berjemaah, hampir 2 bulan penuh. Syahdu tahu ? Jauh bezanya dengan di Ipoh dan di sini, ceramah merata - rata tempat. Ada sahaja tazkirah dari ustaz tempatan, ada juga ustaz terkenal dijemput memberikan ceramah. Lagi aku suka, bila ustaz tersebut, Ustaz Zahazan. Mula tiba di suatu surau, aku hampa. Katanya ada beliau akan mengadakan ceramah disini. Namun, hampa itu segera diganti dengan ilmu yang dibawakan oleh penceramah lain. Aku seronok. Aku gembira. Sedang aku ralit, ceremah terhenti seketika. Rupanya Ustaz Zahazan sudah tiba ! Ya Allah ! Seronoknya bukan kepalang waktu itu ! Selama ini aku hanya mampu mendengar tafsir al-Quran di IKIM di pagi hari, Tanyalah Ustaz rancangan TV9 tak lupa juga beberapa ceramah dari sumber Youtube. Dahulunya di kaca tv atau laptop, kali ini di kaca mata sendiri. LIVE ! Seronoknya dunia Selangor !!!

Dahi aku kembali berkerut. Cuma . . pagi hari aku bertolak balik Ipoh. . dalam LRT, menuju ke Plaza Rakyat. Aku duduk di kerusi panjang kosong. Tiba di suatu perhentian, ada seorang perempuan cacat. Setakat yang aku boleh tafsir, down syndrome. Dia dipimpin seorang perempuan sehingga duduk di sebelah aku. Aku biasa biasa, tidak terlintas langsung untuk bertegur sapa. Kalau manusia biasa pun aku banyak membisu, apatah lagi orang luar ? Tambah pula, saat itu badan aku makin panas. Otot otot aku terkandang kejang dengan sendirinya. Bersuara itu bagaikan suatu bebanan. Ya Allah, semoga aku cepat sampai, selamat sampai. Sedang aku termenung kosong, aku teringatkan coklat dalam beg sandang aku. Ada 3 kotak, semuanya pemberian orang. Aku terfikir, aku hidup bujang, seorang dirumah. Aku demam, orang demam kena jauh dengan coklat. Jadi, apa kata kalau beri satu padanya ? Kalau dia gembira, hatinya pun turut sama paling kurang. Kalau dia menguntum senyuman, rasanya inilah kali pertama aku lihat orang istimewa tersenyum kerana aku. Aku kalis sebentar, melihatnya. 

Tersentap.

Perempuan sebelahnya itu, siapa ? Ibunya ? Kenapa. . . dia tak pakai tudung ? Ligat kepala aku berfikir, mula memikir rasionaliti aku memberi coklat tersebut. Menolong orang, aku ada prinsip aku. Kata ustaz Zahazan pula, harta soleh baik pada tangan orang yang soleh. Kalau aku beri. . . ibunya terima sama. Risau aku risau, risau coklat aku beri disalah tafsir sebagai penerimaan orang awam terhadap penampilannya ! YA ALLAH ! Sakitnya kepala ! 

TING ! Plaza Rakyat, Plaza Rakyat.

Aku grab beg sandang yang berisi bermacam kotak, kasut sandal dan termasuklah coklat tersebut. Cepat cepat mengenakan beg galas berisi baju dan toiletries. Keluar, menapak lemah. Sejurus kedengaran LRT meninggalkan stesen tersebut, aku terfikir.

Apa dosa anak kecil tersebut ? Kenapa libatkan orang lain sama ? Lagipun, dia 'istimewa'. Kau tahu bertapa banyak pahala kau hilang hanya kerana malas menyebut " NAH "

Ralat, rungsing. Bulan ramadan ini, aku rugi peluang keemasan. Bukan emas lagi dah, bukan berlian, tapi rahmat Allah aku rugi. Tambah pula, aku terfikir. Demam aku mula pada penghujung fasa kedua. Fasa pengampunan. Dalam kepala, aku menimbang, apakah ini simbolik dosaku ? Besar ke Ya Allah ? Banyak ke Ya Allah ? Sehingga, aku terpaksa tempuhi ini semua ? 

Aku hamba hina. Malu bila ibu berpuluh puluh kali telefon menanyakan kesihatanku. Aku muda, dia tua. Bukan aku yang sepatutnya bertanya akan kesihatan dia ? 

Dengan imam nipis yang tinggal, ruqyah aku amalkan, doa ini aku sematkan dalam dada.


’ Ya Allah ganjarilah aku pada musibah ini dan 
gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya ’ 


P/s : Demam lemah perkara biasa. Cuma ianya menjadi berat, bila diri terhempap dengan timbangan aku sendiri. Berbaki ramadan yang ada, takkan kulepaskan begitu sahaja ! Redhamu ku cari ya Allah !

2 comments:

  1. Bersyukur untuk nikmat sihat. Bersyukur juga untuk nikmat sakit.
    Indeed, bahu yang memikul itu lebih berat dari yang memandang kan.
    Semoga Allah kurniakan kesembuhan :)

    ReplyDelete