Monday, October 15, 2012

15/9


السلام عليكم و رحمة الله و بركات



Kepala memusing kiri dan kanan, memerhati sebarang pergerakan yang mungkin mengundang bahaya. Setelah keadaan memuaskan hati, kakiku mula mengorak langkah ke restauran di hadapan sana. Ada apa di sana ? Entah, lelap lelap mata sahaja sebentar tadi, diriku berada di kaki lima entah mana lokasi mimpi aku kali ini. Kuusap lembut perut dengan tangan kanan. Hangat tangan terasa, tapi hairan, tiada tanda - tanda perut meragam lapar pun ? Matikan sahaja segala persoalan, kalau rezeki sudah ada berhampiran kenapa tidak kita usahakan ?  Cuma aku perlu beringat pesan nabi, makan bila perlu dan berhenti sebelum kenyang. Tambah pula, perut adalah punca penyakit. Segala perkara yang disuakan ke dalam mulut, perlulah dipilih bersesuaian dengan ikutan umat baginda. Jika segala cara bertepatan dengan sunnah, insyaAllah rezeki kita diberkati. Kesannya, tubuh badan membesar dengan sihat, otak pula jadi cerdas ligat berfikir. Mudah sahaja segala ilmu pelajaran diserap masuk dalam kepala.

Tak mahu begitu ?


Bersahaja aku melangkah kehadapan, berseorangan. Biarpun lautan manusia berada dihadapan mata dengan bunyi riuh rendah mengamatkan suasana, namun kesunyian itu jelas terasa, jauh dilubuk hati. Haih, bilalah nak ada peneman buat berjalan seiringan ? Aku rindu waktu dahulu, ada peneman saat suka dan duka, peneman yang bisa menukarkan racun kepada madu. Indah. Tapi, sayang kepada yang maha satu melebihi segala - galanya. 47:7. Biarlah perjalanan hidup kini terasa sunyi, segala pahit manis kehidupan  kusimpan sendiri, asalkan aku tahu, pintu hatiku selalu diusik rindu Sang Pencipta. Begolek datang rezeki kearahku, tuhan jua aku puji, musibah datang menerpa sekalipun, kepada DIA jua aku mengadu. Cinta ? Cinta itu buta. Benar, kerna cinta Ilahi tidak mengenal pangkat atau darjat. Jika berbuat 1001 dosa sekalipun, cintaNya tetap ada bila pintu taubat senantiasa terbuka. Rahmatnya pula menghidupkan sekalian alam dan Bumi, dan dengan redhaNya juga, masakkan aku masih bernafas hari ini !

Alhamdulillah.
Alhamdulillah !



Sedang menapak, kedengaran sebuah kereta meluncur laju pada sebatang jalan dihadapan premise tersebut. Siapa pula bawa laju - laju nih ? Jalan sini sudahlah sempit, kereta parking penuh kiri kanan jalan, kalau kalau ada budak kecil keluar dari celah - celah kereta tak ke bahaya tu ? Ingat lagi, waktu itu Mak Long bawa aku dinner di sebuah restauran dalam kawasan Ampang. Baru keluar kereta, mahu menuju ke restauran, terdengar bunyi " Bang " diikuti bunyi brek kereta yang kuat. Rupa - rupanya, ada budak kena langgar ! No physical injuries, tapi aku percaya, pendarahan dalaman mesti berlaku. Dengar dari bunyi sahaja sudah ketahuan serius mana kemalangan itu terjadi, masakan tidak berkerumun orang tua muda mendapatkan si kecil malang tersebut. Sedang hati merungut, kereta berkenaan berhenti betul betul di sisi aku. Huh ? Hairan sungguh perlakuan pemandu begini. Tadi bawa laju, ini brek mati pula ? Dah macam dalam filem aksi, biasanya diikuti sesi rompakan bank atau kedai emas. Paling tidak pun, ada penculikan. Eh, diorang nak culik aku ke ? Aku menganjak kebelakang sedikit. Sebelum sempat memulakan langkah seribu, cermin kereta tersebut diturunkan perlahan lahan menampakkan isi dalamnya. Mata melingkas mendapatkan siapa pemandunya. Kalau tadi rasa nak lari, kini beria ingin mengetahui. Bahaya sungguh tubuh berdarah muda ini, berani berhadapan risiko walau mungkin nyawa sendiri jadi taruhan !

Eh ? Orang tua ini macam kenal.
E'eh, atuk laa !

Gembira aku bukan kepalang, tersenyum aku sampai ke gusi. Dada pula berombak turun dan naik bagai anak kecil melompat kegirangan berkali - kali. Atuk tu ! Pintu kereta dibuka luas, menampakkan keseluruhan tubuh badan warga emas itu. Aku lihat atuk atas bawah, bagai tak percaya. Tubuh badan atuk sedikit berisi menggambarkan kini atuk lebih sihat berbanding dahulu. Masih teringat waktu aku melawatnya di Hospital Alor Setar, atuk terlantar di atas katil dalam HDW - High Dependency Ward. Berair mata melihat keadaanya, tubuhnya kurus bagai kulit itu hanya membaluti tulang. Matanya terkatup rapat, tiada sepatah kata pun mampu dia tuturkan. Kata abah, atuk dalam keadaan separuh koma. Pernafasannya pula 100% bersandar pada mesin oksigen. Berbagai tiub disambungkan pada tubuh badannya. Kesian. Tapi itu semua dahulu, kerana atuk dihadapan mata aku ini . . .

" Atuk nampak lebih sihat ! "

Langsung terpacul isi hatiku kepada pemiliknya. Segan pula berbuat demikian, tapi . . . ah biarlah, biarlah atuk tahu aku gembira bertemu dengannya ! Tersenyum atuk melihat karenah cucunya seorang ini sebelum membalas sapaanku. Eh ? Atuk dah boleh cakap ? Dengan sepatah persoalan itu, tanpa disangka menjadi permulaan perbualan antara cucu dengan datuknya. Ya Allah, seronoknya perasaan begini ! Aku terus hanyut dalam perbualan ini, melayan perasaan gembira. Sampai satu tika, atuk memohon maaf jika dia ada berbuat salah dan silap kepada diriku. Salah silap ? Maaf ? Eh, kenapa atuk berbicara begitu ? Dalam kepala pusing dibentang persoalan, baru aku tersedar sesuatu perkara.

Bukan. . .
atuk sudah meninggal sebulan lepas

Rasa seram ?
Tidak.
Rasa takut ?
Tidak.

Jauh sekali ingin menghalau atuk pergi jauh dari mimpi. Aku gembira begini, dapat bertemu dengan atuk biarpun dalam mimpi. Sukar sekali menggambarkan perasaan tika ini tapi yang pasti rasa rindu yang menebal itu terubat. Hati siapa yang tak suka bila lihat seseorang yang kita sayang itu sihat ? Hati mana tak cair bila lihat senyuman indah diukir hanya untuk diri kita sendiri ? Indahnya mimpi, sayangnya ini bukan realiti ! Cepat - cepat aku mencapai tangan atuk,

" Tak atuk tak, atuk tak salah ! 
Mimi yang salah ! "

Berkeras aku merebut peluang yang ada, memohon segala silap dan salah aku kepada dirinya. Atuk baik, baik sangat. Kenapa perlu minta maaf pada aku pula ? Baru sahaja aku mendapatkan tangannya . . . .

Bahu terhenggut menahan tangis dan sendu. Rasa sayu dan pilu berkocak dikalbu. Nafas ditarik dalam, cuba menahan perasaan. Lembut kualunkan surah Yassin dengan hiba. Saat menerima berita pemergian atuk, aku bukan begini. Terbentang sebatang tubuh terkujur kaku dihadapan mata pada malam itu, tiada setitik air mata pun yang mengalir. Saat memandikan atuk, mengafankan dan pengebumiannya dengan kedua tangan ini sekalipun, cuma air mata bertakung tak lepas. Tapi kali ini, kubiarkan air mata jatuh berderai. Perasaan yang sekian lama terpendam kulepaskan jua.
15/9.
Tepat sebulan atuk pergi. Tiada apa tubuh kerdil ini mampu lakukan kerna tiada siapa yang mampu menghidupkan sesuatu yang mati. Takku bisa memutar waktu jua. Kata orang tua, yang pergi itu biarkan ia berlalu. Yang hidup perlu teruskan kehidupan. Akanku terus berjalan di atas muka Bumi ini seperti sediakala dengan hati tak henti berdoa untuk kebaikannya di alam sana.



Aku berharap,
agar kita berjumpa di syurga sana.

InsyaAllah. InsyaAllah.

3 comments:

  1. T.T atok meninggal sbb ape? rindu atok jugak...lg 12 hari genap setahun atok pergi...xsempat melihat cicit die yg pertama...harini ank abg lahir, esok tu atok pergi... ~hanya nasihat dan kenangan yg atok bg jd pengubat rindu dan pembakar semangat.. =)

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Innalillahiwainnailahirojiun.

    Aku pun pernah mimpi arwah Pak Long aku yang dah 9 tahun meninggal dunia :')

    Oh, btw, link blog dah tukar la :)

    ReplyDelete