Saturday, March 30, 2013

Cuba kamu angkat buah itu, letak dalam bakul motor.

السلام عليكم و رحمة الله و بركات





Jumpa kisah menarik, link dari FB.

Sila baca link di sini dahulu ( tekan : sini )


Allahuakhbar.


Lihat gambar ini, baca cerita ini, teringat pada waktu kukecil dahulu. Kami sekeluarga dahulu menetap di Pahang selepas beberapa tahun tinggal di Johor, sebelum kami semua berpindah ke Ipoh. Hidup kami di sana bahagia sungguh walau faktanya kemudahan yang kami terima daif sekali. Bekalan elektrik cuma dari 7 malam sehingga 7 pagi. Kalau waktu kecil kecil dahulu, selalu pergi ke rumah Pak Cik Dek sebelah rumah, suruh dia start 'enjin' berikutan bekalan elektrik di kawasan perumahan kami dahulu hanya dijana oleh enjin kecil berkuasa diesel. Terkadang jiran kami itu start enjin awal, lambat sejam pun ada. Seolah menjadi tugas aku dan abang aku mengingatkan dia supaya start enjin, kalau tidak melepaslah cerita Naruto dan Doreamon kegemaran adik beradik aku ! Selalu sahaja bekalan elektrik terputus. Biasanya disebabkan enjin 'overheat' atau regular maintance yang tidak dapat dielekkan. Paling lama tiada bekalan elektrik, 3 bulan !  3 bulan tanpa bekalan elektrik bila TNB tiba dengan bekalan elektrik dari pencawang ( pylon ) Bayangkan bila kawasan perumahan anda dikelilingi oleh ladang luas beribu hektar. Pabila malam, sudah tentu malam pekat bukan ? Tiada lampu jalan. Tambah pula, kami semua terpaksa berjaga - jaga dengan kehidupan liar di luar rumah waktu - waktu begini. Teringat waktu aku dan abang aku kenakan adik aku dengan meninggalkan dia dibelakang sewaktu habis sahaja kelas mengaji. Ringan mulut sebut ;


' Jaga - jaga adik, ada hantuuuu '  


Mulalah dengar ada suara kecil menangis di hujung sana, aku dan abang sudah ketawa terbahak - bahak. Akhirnya kami mendapatkannya kembali. Mana ada abang tinggalkan adik, mana ada abang tak sayang adik. Kan ? Sudahlah malam pekat, sumber cahaya pula hanyalah lilin. Lilin yang samalah aku adik beradik mengaji Quran di rumah jiran, dengan lilin jugalah aku menelaaah pelajaran, dengan lilin jugalah ibu di dapur menyiapkan makanan buat kami. Bila makanan siap, kami terpaksa makan di atas meja yang sama hanya kerana sumber cahaya yang satu. Susah kehidupan kami ? Manisnya kami makan bersama. Lihatlah dunia luar sana, bukan ramai si bapa / ibu yang mampu menyediakan makanan dengan air tangan sendiri. Dan bukan semua keluarga mampu berada bersama saat tiba waktu makan. Atas itu, kami bersyukur kepada tuhan. 


Bekalan air pula ?


Kalau air sungai rata - rata disebut air 'teh', jangan gelak jika kami mandi air teh bila terputus bekalan air tapis ( tapis pun nampak berkelodak ). Berbeza dengan bekalan elektrik, bekalan air kerap sangat terputus. Bila ayah aku bawa turun ke 'site' penapisan 5-6KM dari kawasan perumahan kami, enjin sedut air cuma diletakkan ditebing sungai kecil Tasik Bera. Jika hujan, air tinggi, maka 'bermandilah' enjin dengan air sungai yang sudah tinggi itu. Alternatifnya ? Enjin lain, sedut air tinggi itu juga. ( Bila hujan lebat, air jernih jadi keruh dek hakisan tanah ). Susah kehidupan kami ? Ayah bawa kami naik kereta, ibu bawa berbaldi baldi baju kotor dalam kereta. 


Kemana kita abah ?


Diam tanpa kata. Rupanya kami tiba di sebuah tempat yang 'muncul' bila air tinggi. Sebenarnya kawasan Itu datar sahaja, tiada air. Bila air tinggi, air dari sungai meninggi lalu melimpah masuk ke kawasan itu. Hairan airnya jernih ! Apa lagi perasaan seorang anak kecil jumpa swimming pool yang besar kalau bukan suka ! Bukan main kepalang lagi kami bersuka ria di kawansan itu. Ayah pun turut sama. Ibu pula membasuh pakaian dengan tangannya sendiri. Allahuakhbar, damainya keluarga kami saat itu tidak terbayang ! Atas itu, kami bersyukur kepada tuhan. 


Cuma lain daripada yang lain, ada suatu hari. . .


Pernah sekali ayah tercinta, jadi penyelia ladang Felda Bera Selatan 01 waktu aku baru melangkah ke alam persekolahan. Pada suatu hujung minggu, ayah aku membawa aku naik motor EX5 nya. Ujur motor itu. Kerap kali digunakan buat kerja melawat ladang. Siang atau malam, motor itulah yang digunakan buat mencari nafkah kami sekeluarga. Aku mulanya tertanya - tanya, kemana pula ayah aku bawa kali ini. Rupanya, ayah bawa aku lihat mana buah sawit yang belum dikutip oleh pekerjanya. Terjumpa setandan buah sawit, ditepi jalan merah. Aku turun pantas kaki pergi ke arah buah sawit tersebut. Teruja benar. Pertama kali pegang buah sawit walhal itu pandangan biasa di kawasan ladang sini. Ayah aku yang beriak wajah tenang mulakan bicara.


" Mimi tahu berapa gaji pekerja angkut buah ini ? "


Garu kepala tidak tahu. 


" Mana Mimi tahu abah. "


" Adalah dalam RM 1 000 sebulan. 
Kalau kerja lebih, lagi banyak dapat. "


" Seribu ? Wah ! Banyak tu abah ! "


Aku mula berkira - kira dalam kepala apa yang mampu aku buat dengan seribu ringgit Malaysia. Kereta mainan, alatan tulis pelbagai warna, gula - gula, cekedis sedap sedap. Waaahhhh ! Ayah sedikit terkejut, sebelum sebaris senyuman dilemparkan. 

Huh ?


" Cuba kamu angkat buah itu. 
Letak dalam bakul motor "


Aku yang terpinga - pinga mengikut sahaja apa yang dituturkan bapa seolah kerbau dicucuk hidung. Eh ? Beratnya ? Aku mencuba, berat juga. Aku cuba lagi, berat sungguh ! Mustahil aku angkat benda ini ! Sudahlah berat, tangan pula kotor !


Berat kan ?


Aku mencebik muka. Tak suka aku bila 'kalah'.


" Bayangkan pekerja - pekerja abah, setiap hari angkat benda ini. 
Bukannya satu, tapi boleh jadi sampai beratus. 
Mereka kerja payah, sedang abah hanya tukang mengarah. 
Ikutkan gaji, gaji abah lagi banyak. "


Mula aku hadam satu per satu kata yang keluar dari mulut abah. Ada benar juga.


" Oleh sebab itu, belajar lah sungguh - sungguh Mimi. Belajar mendapatkan ilmu biar ilmu itu bermanfaat buat kamu. Nanti bila sudah kerja, tidak mustahil gaji kamu lagi tinggi daripada mereka, tak mustahil lagi tinggi daripada abah. 
Kamu pula tak perlu berpenat macam mereka, tak perlu kerja dibawah terik matahari macam mereka, 
tak perlu risau terserempak dengan harimau macam mereka. 
Belajarlah, abah taknak lihat anak abah kerja susah nanti "



Inilah ayah aku. Kami hidup bukan senang, bukan susah. Cuma bersahaja, sekadar sederhana. Aku akui, cemburu juga pada kawan miliki itu dan ini. Cemburu juga pada mereka pakai itu dan ini. Rumah besar bagai istana pun ada. Ada yang senang bersuka ria menghabiskan duit begitu sahaja. Tapi bukan aku. Aku punyai bapa berjiwa besar. Ayah tidak menghampar kemewahan kepada kami adik - beradik, tidak pula membiarkan kami melarat mencari duit. Ayah cuma beri apa yang mereka rasa perlu, buat mendidik jiwa anak - anak mereka. " Jikalau mahu apa yang tidak sepatutnya miliki, hah, usahalah sendiri. Baru tahu penat cari duit " Bukan mendera, tetapi lebih kepada pengajaran. Ayah tak mahu kami semua menyesal kemudian hari, ayah tak mahu kami semua jadi manusia tiada guna kemudian hari. Apa yang dimahukan adalah seorang insan yang tahu menghargai sesuatu, seorang insan yang tahu berterima kasih, walau saat ditimpa sempit. 


Sayangnya seorang ayah kepada anaknya bila ;


 " Cubalah teliti bapa kita betul - betul. Dalam apa - apa pekerjaan yang dia lakukan, aspek 'emosi' itu diletakkan tepi. Dia buat sesuatu perkara dengan ikhlas, terpancar jelas dari riak mukannya. Dia tidak mengharapkan belas, tidak mengharapkan apa - apa balasan. Apa yang dia tahu, anak bininya makan minum terjaga, segala kelengkapan ada. Tak pernah pula bapa aku ungkit segala benda yang dia buat kerana dia tahu tanggungjawab dia. "

 ( Quote : Di Pondok Kecil )


Aku tidak hairan bila aku menulis entry ini dengan air manik mengalir. Nostalgia lama ituterimbas sendiri. Harga sekeping kenangan itu pula, tinggi. Tiada emas atau berlian mampuku ganti. Terima kasih abah. Terima kasih abah. Maaf, jika anakmu belum sempurna seperti diharapkan. Moga doamu mengiringi setiap nafas yang daku ambil sepanjang kuperbaiki diri. 







P/s : Tiada harian aku dapat bezakan mana satu keperluan, mana satu kemahuan. Mereka juga yang ajar aku. Dalam hati aku cuma tertawa kecil bila mendengar berita seseorang menangis kerana tidak mendapat iPhone 5 dari ibu bapa mereka.    Atau PS4 atau Civic atau platinum card atau. . . ( lu fikirlah sendiri #sarcasm )

6 comments:

  1. itulah, kdg2 ada sesetengah org, suka2 je mintak apa nak, tanpa memikirkan kesusahan ibu bapa.. moga dijauhkan sifat mcm tu..

    ReplyDelete
  2. Masa ibu ayah saya cerita mereka pergi sekolah kena kutip pensel yang terbiar dekat tepi jalan...saya tak percaya. hehe.

    ReplyDelete
  3. nice day :)
    Bermimpilah tentang apa yang ingin kamu impikan,
    pergilah ke tempat-tempat kamu inginkan,
    Jadilah seperti yang kamu inginkan,
    karena kamu hanya memiliki satu kehidupan
    dan satu kesempatan untuk melakukan hal-hal
    yang ingin kamu lakukan

    http://www.nolimitadventure.com/

    ReplyDelete
  4. @nurfatin ; betul, sokong sangat akan apa yang diperkatakan. Ikutkan tanggungjawab, banyak lagi perkara mereke perlu buat berbanding melayan nafsu jiwa muda anak - anak nya kan ?

    ReplyDelete
  5. @zahirahharyati : Tak mustahil rasanya. Ibu bapa selalu cerita mereka berkayuh ke sekolah tiap tiap hari. Pernah cuba test drive ( read : GUNA KERETA ), jauh kemain lagi. Macam mana lah mereka ada kuderat dahulu boleh kayuh jauh jauh. Yang terkesimanya, mereka berbuat demikain demi secebis ilmu. Kita ni, kemudahan dah ada, tapi belajar pun malas T.T

    ReplyDelete